Terbaru, Bront beraksi dalam filem genre seram Pengabdi Setan arahan Joko Anwar yang mendapat sambutan hangat di pawagam Indonesia sejak ditayangkan pada 28 September lalu.
Bukan saja mendapat sambutan di pawagam, filem ini juga mendapat pencalonan terbanyak pada Festival Filem Indonesia 2017 (FF1).
Selepas Indonesia, filem Pengabdi Setan terbitan Rapi Films akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 23 November ini.
Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin, 39, menzahirkan rasa syukur kerana bakatnya berjaya membuka mata penerbit filem negara seberang.
“Selepas siri Halfworlds, saya ditawarkan Joko beraksi dalam Pengabdi Setan.
“Saya juga menimba pengalaman menarik dalam siri Halfworlds yang membabitkan penggambaran selama dua bulan.
“Manakala, dalam filem Pengabdi Setan pula, penggambaran berlangsung selama 18 hari.
“Kali ini lebih mudah kerana saya sudah tahu cara bekerja Joko dan apa yang dimahukannya dalam filem ini,” katanya.
Filem ini menampilkan barisan pelakon dari Indonesia seperti Tara Basro, Dimas Aditya, Ayu Laksmi, Endy Arfian, Nasar Annuz dan Muhammad Adhiyat.
Mengulas wataknya sebagai bapa, kata Bront, dia sudah berusaha memberikan yang terbaik seperti dikehendaki pengarah.
“Saya juga dapat menguasai dialog bahasa Indonesia dengan baik melalui bantuan pengarah dan kru produksi.
“Babak paling sukar ialah ketika penggambaran dalam perigi pada jam 2 pagi.
“Bayangkan saya kena berenang dalam air yang sejuk dengan suhu serendah 5 darjah Celsius,” katanya.
Ditanya gandingan dengan Tara pula, kata Bront, ia juga gandingan kali kedua selepas siri Halfworlds.
“Kami memang berkawan sebab itu tidak sukar untuk kami mendapat keserasian sebagai bapa dan anak dalam filem ini.
“Sebelum penggambaran, saya juga banyak meluangkan masa dengan pelakon kanak-kanak dalam filem ini untuk mencari keserasian sebagai ahli keluarga,” katanya.
Lakonan dapat pujian ramai
Bukan saja filem Pengabdi Setan mendapat sambutan di Indonesia, lakonan Bront turut mendapat pujian pengarah sekali gus penggemar filem seram di Indonesia.
Namun, Bront tidak hanyut dengan pujian itu. Baginya, dia tidak pernah puas hati dengan setiap persembahannya.
“Sebagai pelakon, saya mahu buat lebih baik lagi. Bagaimanapun, yang penting, pengarah dan penonton puas hati dengan lakonan saya.
“Saya juga berharap filem Pengabdi Setan ditonton rakyat Malaysia.
“Saya buat filem ini untuk menghiburkan peminat filem tempatan,” katanya.
Ditanya pencalonan pada FFI 2017, Bront berkata ia hadiah untuk semua kru filem itu.
“Semua pihak dan kru produksi sudah beri sesuatu yang istimewa untuk filem Pengabdi Setan.
“Namun, pihak produksi dan pelakon terbabit tidak fikir soal anugerah pun ketika menghasilkan karya ini,” katanya.
Selepas Pengabdi Setan, Bront turut berlakon dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 terbitan Manoj Production yang bakal ditayangkan di pawagam pada Disember depan.
Sumber Kian menyerlah di seberang
0 Response to "Kian menyerlah di seberang"
Post a Comment