Johor isytihar cuti

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengisytiharkan cuti khas peristiwa hari ini susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) ) menjuarai Piala Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi, berakhir dengan kemenangan JDT ke atas Kedah, 2-0.

"Ini satu kejayaan bersejarah selepas 25 tahun Johor tidak memenangi sebarang Piala Malaysia dan pengumuman cuti ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Johor.

"Pengumuman cuti ini adalah sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang terdahulu memperkenankan cuti peristiwa itu sekiranya pasukan JDT muncul juara selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369)," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, merakamkan ucapan tahniah ke atas kejayaan pasukan JDT itu.

Beliau berkata, Kerajaan Johor turut mengucapkan syabas kepada penyokong yang sentiasa berdiri bersama pasukan JDT.

"Ini adalah hari yang bersejarah bagi Johor. Johor bangga dengan JDT. Terima kasih JDT.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih di atas sokongan tidak berbelah bahagi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada pasukan itu selama ini. 

"Tidak dinafikan juga, peranan besar yang turut dimainkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke atas pasukan JDT sehingga berjaya muncul sebagai satu daripada pasukan bola sepak yang disegani di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.

Mohamed Khaled berkata, ucapan tahniah juga harus diberikan kepada pasukan Kedah kerana mempamerkan permainan yang baik.

"Permainan bertenaga yang ditonjolkan kedua-dua pasukan berjaya menunjukkan mutu bola sepak bertaraf final sebenar kepada semua penonton," katanya.



Sumber Johor isytihar cuti

Related Posts :

0 Response to "Johor isytihar cuti"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect