Ibu bapa lebih mudah memberi anak-anak gajet untuk membuatkan mereka diam. (Gambar: gadget-cover.com)
Paling haru biru apabila nak ke sesuatu destinasi, elok saja 'on' aplikasi waze, si kecil merengek-rengek nak tengok kartun kegemarannya di YouTube. Mesti ramai yang mengalami situasi sebegini bukan?
Sudahnya, tak mahu anak-anak ganggu kita, ibu bapa pun belikan gajet baharu khas untuk anak-anak mereka duduk diam.
Ada yang kata, gajet membantu anak-anak lepas pantas mengenal dunia, belajar warna dan tahu jenis haiwan tetapi sebenarnya, ketika duduk berkumpulan, ada yang berebut barang, menjerit dan memukul kawan jika kemahuan mereka tidak dipenuhi. Semua ini berpunca daripada pendedahan terlalu ekstrem terhadap gajet.
Paling menyedihkan, ramai kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke atas mempunyai kemahiran sosial yang sangat lemah dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik terhadap orang di sekeliling mereka. Kalau dah jadi macam ini, nak salahkan siapa?
GAJET PUNYA PASAL
Menurut kajian yang dijalankan satu laman sesawang interaktif untuk kanak-kanak, Kidxy, lebih 60 peratus ibu bapa mengakui menghabiskan masa kurang dari 8 jam seminggu untuk aktiviti perkembangan anak-anak mereka. Ia termasuklah aktiviti sukan, belajar dan ikatan kasih sayang antara anak dan ibu bapa.
Lebih memburukkan keadaan, hampir 37 peratus mengakui mereka memperuntukkan kurang 5 jam bersama anak-anak.
Bagaimanapun, hampir 80 peratus daripada mereka mahu melakukan aktiviti bersama tetapi majoriti mereka berpendapat ia membabitkan kos yang tinggi.
Pengasas Kidxy.com, Emylia Anwar, berkata kajian itu mendapati ibu bapa berpendapat cara paling mudah untuk melayani anak-anak mereka adalah dengan memberikan gajet.
"Namun, ramai ibu bapa tidak sedar, anak mereka memerlukan lebih daripada sebuah gajet untuk membantu perkembangan 'intelligence quotient' (IQ) dan 'emotional quotient' (EQ) mereka.
“Malah adalah satu bonus bagi anak-anak kecil ini jika terdapat interaksi dua hala antara ibu bapa dan anak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa pakar juga sependapat dengan kajian ini di mana agensi hak asasi kanak-kanak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati interaksi ketika bermain bersama ibu bapa bukan sahaja amat dikehendaki malah elemen paling penting untuk perkembangan kognitif kanak-kanak.
Dalam laporan mereka bertajuk, 'Early Moments Matter For Every Child', organisasi itu menyeru kerajaan dan pihak berkepentingan memulakan langkah bagi memenuhi permintaan perkhidmatan perkembangan awal anak-kanak.
LEBIH RAPAT AKTIVITI BERSAMA
Sementara itu, sebuah jurnal ditulis Kenneth R. Ginsburg menyatakan perkembangan awal kanak-kanak amat berkait rapat dengan hubungan yang dibina ketika waktu bermain bersama ibu bapa.
“Kesedaran mengenai masalah yang dihadapi ibu bapa dalam menyediakan aktiviti berkualiti dan mampu milik bersama anak-anak adalah langkah pertama dalam menyelesaikan masalah ini.
“Memang kita tidak mampu memaksa sesorang menambah masa untuk anak-anak mereka dalam sehari tetapi kita boleh bantu ibu bapa menggunakan sumber yang mereka ada untuk melakukan aktiviti menarik di dalam bandar pada harga yang murah,” kata Emylia.
Dalam pada itu, kajian berkenaan mendapati 1 daripada empat ibu bapa mengakui mereka tidak tahu aktiviti yang sesuai untuk anak mereka di kawasan perumahannya.
Jika anda tidak tahu atau tiada idea untuk mencipta permainan bermanfaat untuk anak-anak anda, apa kata layari laman sesawang Kidxy.com yang menghimpunkan lebih 105 vendor meliputi enam kategori aktiviti yang boleh dipilih ibu bapa untuk anak-anak mereka.
Duit boleh dicari tetapi masa untuk anak-anak membesar hanya sekali. Hargailah masa mereka membesar, simpan gajet anda dan mulakan aktiviti bermanfaat bersama si cilik dan biarkan mereka meneroka dunia yang penuh menyeronokkan tanpa gajet!
Sumber Cara Salah Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak
0 Response to "Cara Salah Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak"
Post a Comment