Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah Kuala Kubu Bharu atas dakwaan membunuh anaknya berusia setahun. ― Paparan skrin GoogleKUALA KUBU BHARU, 15 Nov ― Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan kandungnya yang berusia setahun, yang ditemukan ditutupi selimut dengan kesan kecederaan teruk di kepala, awal bulan ini.
Tertuduh Francis Lim Jeum Huen, 21, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian bayi perempuannya, Lim En Xing di sebuah unit pangsapuri di Apartment Widuri 1, Sek BB 18, Bukit Beruntung 3, Rawang, dekat sini antara 8.30 malam dan 9.30 malam, 1 Nov lepas.
Tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Hakim Zulhelmy Hasan menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amin Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia dipercayai didera dan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Lim Bak Phai berkata ibu bapa mangsa mendakwa telah menjumpai kanak-kanak berkenaan tidak sedarkan diri dengan keadaan ditutupi kain selimut di dalam sebuah bilik sejurus pulang dari tempat kerja.
Menurutnya, ibu bapa mangsa telah membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik swasta berhampiran dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia. ― Bernama
Sumber Bapa didakwa bunuh bayi perempuan usia setahun
0 Response to "Bapa didakwa bunuh bayi perempuan usia setahun"
Post a Comment