Atasi segera kelemahan penguasaan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan digesa mengambil langkah proaktif dengan segera bagi mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu, khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk mengenal pasti sekolah yang mempunyai pelajar seumpama itu.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak kelemahan penguasaan Bahasa Melayu akan dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk membuat tuntutan supaya bahasa kebangsaan tidak diwajibkan dalam pengajaran dan pembelajaran di SJK.

"Bulan lalu, Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Wang Hong Cai, mendedahkan bahawa penguasaan Bahasa Melayu yang lemah serta sukar memahami sesi pengajaran dan pembelajaran adalah satu daripada punca utama kira-kira 30 peratus daripada pelajar Cina keciciran di peringkat sekolah.

"Kementerian perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah itu. Bayangkan, walaupun sudah berada di peringkat sekolah menengah, ada antara mereka tidak dapat menguasai dan memahami Bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ikmal Hisham berharap jangan disebabkan sebilangan kecil saja tidak boleh menguasai Bahasa Melayu di SJK, kementerian didesak untuk melonggarkan syarat kepada pelajar terbabit.

"Mahu tidak mahu sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menguasai Bahasa Melayu," katanya.



Sumber Atasi segera kelemahan penguasaan Bahasa Melayu

Related Posts :

0 Response to "Atasi segera kelemahan penguasaan Bahasa Melayu"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect