Apakah Arsenal senasib Real jumpa Spurs?

KOLUM BICARA EPL

SAINGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali selepas berehat bagi memberi laluan aksi kelayakan Piala Dunia dan persahabatan antarabangsa, dengan tumpuan perlawanan Arsenal menentang Tottenham Hotspur di Emirates malam ini.

Selepas itu, pendahulu liga, Manchester City akan menyambut kunjungan juara musim 2015/2016, Leicester City, manakala penyandang juara, Chelsea bertandang ke Hawthorns bertemu West Bromwich Albion.

Pencabar utama liga, Manchester United pula yang perlu untuk bangkit dari kekalahan memalukan di tangan The Blues pada 6 November lalu, menjadi tuan rumah kepada Newcastle United di Old Trafford.

Perlawanan tetangga Utara London atau North London Derby antara Arsenal dan Spurs sememangnya ditunggu penyokong kedua-dua kelab gergasi ini. Tottenham ketika ini berada di tangga ketiga liga, meninggalkan The Gunners dengan kelebihan empat mata.

Dengan City dan Chelsea terus dalam rentak kemenangan, aksi di Emirates ini pastinya bakal sengit tatkala kedua-duanya tidak boleh tercicir mata andai enggan hilang peluang selaku pencabar utama kejuaraan musim ini.

Seperti juga nasib United, The Gunners tersembam dalam aksi terakhir dua minggu lalu apabila tewas 3-1 di tangan City di Etihad selepas mencatat kebangkitan berterusan sebelum itu.

Penulis percaya, Arsene Wenger sudah melakar strategi terbaiknya untuk memerangkap Spurs malam ini. Ini termasuk kemungkinan meletakkan bintang Perancis, Alexandre Lacazette dalam kesebelasan utama yang sebelumnya kerap menjadi gantian.

ALEXIS Sanchez. - Foto Reuters

Dia juga tentunya mahu melihat Alexis Sanchez kembali mendapat sentuhan selepas kurang menyerlah sebelum ini sehingga meletakkan The Gunners agak goyah.

Sementara itu, Spurs tampil di Emirates malam ini dengan mencatat kemenangan tipis ke atas Crystal Palace minggu lalu. Kemenangan 1-0 menyaksikan mereka menyamakan jumlah mata dengan United yang menduduki tangga kedua liga, dan ketinggalan lapan mata di belakang City.

Mauricio Pochettino tentunya resah gara-gara masalah kecederaan menimpa beberapa tonggaknya. Harry Kane, Dele Alli dan Harry Winks sebelum itu terpaksa menarik diri dari tugasan antarabangsa bersama England kerana cedera.

Namun laporan media British kelmarin menyatakan Kane kemungkinan besar cergas untuk bertemu Arsenal, biarpun kedudukan Hugo Lloris dan Toby Alderweireld dan Tom Allnutt masih masih meragukan.

Semua tahu, kehadiran Kane sangat didambakan Spurs terutama rekod lalu menunjukkan pemain itu sudah menjadi penjaring terbanyak saingan jiran tetangga Utara London. Apa ramalan keputusan malam ini? Penulis jangkakan ia berakhir seri.

Dalam pada itu, Jose Mourinho sangat memerlukan kemenangan ke atas Newcastle di Old Trafford selepas diaibkan oleh Chelsea dalam aksi terakhir di Stamford Bridge, dua minggu lalu.

Red Devils mendapat suntikan moral apabila perancang Perancis, Paul Pogba hampir pasti kembali memperkukuhkan pasukan selepas pulih dari kecederaan. Dan pasti menggembirakan, Romelu Lukaku sudah kembali mendapat keyakinan di depan gawang apabila meledak bersama Belgium. Selamat menonton

*Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Ramalan Minggu Ini:

Arsenal 1 Tottenham Hotspur 1

Crystal Palace 1 Everton 1

West Brom 0 Chelsea 2

Liverpool 2 Southampton 1

Leicester City 1 Manchester City 3

Bournemouth 1 Huddersfield 1

Burnley 1 Swansea 1

Manchester United 2 Newcastle 0

Watford 1 West Ham 2

Brighton 0 Stoke City 0



Sumber Apakah Arsenal senasib Real jumpa Spurs?

Related Posts :

0 Response to "Apakah Arsenal senasib Real jumpa Spurs?"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect