Apa Anda Perlu Tahu Berkaitan Barangan Ciplak?

Apa Anda Perlu Tahu Berkaitan Barangan Ciplak?

Barang tiruan mungkin murah, namun kesilapan kecil ini mungkin menggadai keselamatan rumah anda. (Gambar: Reminetwork)

Jika anda fikir rumah anda selamat daripada segala ancaman bahaya, anda sebenarnya harus teliti dengan lebih mendalam terutama aspek ketulenan barang elektronik yang sedang diguna pakai.
 
Ini kerana 55 peratus punca kebakaran di kawasan perumahan di negara ini disebabkan masalah elektrik sama ada berlakunya percikan, litar pintas atau arus berlebihan oleh alat elektronik.
 
Telefon pintar, e-rokok dan pemanas air bilik mandi antara barangan elektonik yang pernah menggemparkan msyarakat apabila menjadi punca kemalangan dan insiden kebakaran.
 
HARGA MURAH JADI TARIKAN

Antara alatan elektronik tiruan yang tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa. 
Berdasarkan kajian dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), produk ‘ciplak’ ini kian membanjiri pasaran di Malaysia.
 
Boleh dikatakan rata-rata produk buatan China ini dihasilkan tanpa melepasi piawaian ditetapkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Senarai Peralatan Elektrik Terkawal Suruhanjaya Tenaga (EC).
 
Malah, laporan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  sehingga April lalu, pelbagai barangan tiruan bernilai lebih RM3.56 juta membabitkan 620 kes di seluruh negara berjaya dirampas.
 
Pemeriksaan yang dilakukan sepanjang tahun lalu pula mencatatkan 1,739 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM14.3 juta. Jumlah ini merangkumi barangan elektrik, kosmetik, alat ganti kenderaan, ubat-ubatan, rokok dan minuman keras.

Antara punca lambakan barangan tiruan ini pastinya disebabkan harganya yang murah dan boleh didapati di tepi jalan dengan mudah.

Sebagai contoh pengecas mudah alih atau ‘powerbank’ tiruan kini banyak dijual pada separuh harga daripada harga asal jenama terbabit. Namun, apa yang pengguna tidak tahu, barangan ini sebenarnya terdedah pada ancaman bahaya.
 
Ini antara contoh kes membabitkan peralatan elektrik/elektronik berlaku di Malaysia:
 

  • Pada 8 Mei 2016, telefon bimbit anak wartawan hiburan meletup ketika sedang dicaj di rumahnya di Setiawangsa. 
  • Pada 19 April 2016, wanita berusia 30 tahun dari Cheras terbunuh akibat kejutan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicaj.
  • Selepas beberapa hari kes di Cheras, seorang berusia 28 tahun dari Kedah mengalami kecederaan apabila telefon bimbitnya meletup ketika menjawap panggilan menggunakan telefon bimbit yang sedang dicaj. 
  • Pada pertengahan November 2015, seorang lelaki di Gopeng memerlukan enam jahitan pada bibirnya selepas e-rokoknya meletup ketika sedang digunakan.
  • Pada Ogos 2014, seorang ahli farmasi terkena kejutan elektrik ketika sedang mandi menggunakan alat mandian air panas di rumahnya di Segamat, Johor.

 
CEGAH DARI AWAL

Masih ingatkah anda dengan isu powerbank pasir ini? 
Pelbagai cara untuk pengguna memastikan keselamatan ketika menggunakan barangan elektronik ini. Selain menyemak pelekat EC dan SIRIM, anda juga boleh mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini.

  1. Jangan benarkan kanak-kanak bermain dengan kabel dan soket elektrik.
  2. Hadkan penggunaan soket tambahan mengikut sukatan (diukur dalam amps) yang disyorkan oleh peralatan elektrik tersebut. 
  3. Perbaharui kabel lama atau soket yang tiada pembumian kepada sistem terkini (grounded 3 pronged system).
  4. Elakkan penyambungan elektrik berdekatan kawasan basah (sinki, bilik mandi) atau dapatkan nasihat profesional jika penyambungan di kawasan sebegini diperlukan.

 
APLIKASI 'CHECK YOUR LABEL'
 
Anda boleh guna aplikasi ini setiap kali membeli telefon pintar baru.
Bagi telefon pintar dan apa jua peranti komunikasi lain, terdapat satu aplikasi yang membolehkan anda menyemak sama ada barangan yang dibeli tulen atau ataupun tidak.
 
Menerusi aplikasi ‘Check Your Label’ anda hanya perlu masukkan nombor identiti pengenalan bagi setiap telefon bimbit (IMEI) atau nombor serial produk terbabit.
 
Setiap alat komunukasi akan melalui ujian saringan SIRIM akan ditampal dengan label keselamatan SKMM yang mempunyai nombor siri unik. Semakan ini membolehkan pengguna mengetahui telefon dibeli itu sudah melalui proses pensijilan oleh SIRIM atau sebaliknya.
 
Anda boleh muat turun aplikasi terbabit menerusi Play Store untuk pengguna Android dan App Store untuk pengguna iOS.



Sumber Apa Anda Perlu Tahu Berkaitan Barangan Ciplak?

0 Response to "Apa Anda Perlu Tahu Berkaitan Barangan Ciplak?"

Post a Comment