Ramai di antara kita yang menghadapi masalah ketandusan idea apabila mula menulis copywriting produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Sesebuah copywriting yang bagus ianya dapat meyakinkan prospek betapa produk yang kita tawarkan tersebut adalah produk yang betul dan diperlukan oleh mereka.
Namun seringkali kita gagal memberikan gambaran terbaik mengenai produk yang kita tawarkan walaupun kita sebagai ‘product owner’. Lebih buruk lagi apabila kita juga kabur dan keliru mengenai keupayaan dan kehebatan sebenar produk kita untuk diterjemahkan ke dalam bentuk ayat dan perkataan (copywriting).
Di dalam buku Rahsia Web Copy ada diterangkan tentang teknik 5W1H yang mana dengan mudahnya dapat membantu kita menyelongkar idea-idea untuk menghasilkan copywriting yang lengkap dan betul. Apakah teknik 5W1H tersebut?
Abaikan dahulu soalan ini kerana pada hari ini kita akan mempelajari tiga elemen kritikal yang perlu kita tahu sebelum boleh memulakan penulisan copywriting produk.
Tiga elemen kritikal ini akan membantu kita untuk menjana idea, menghasilkan copywriting yang tepat dan betul serta membantu prospek dengan mudah membuat keputusan untuk membeli produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan.
#1: Apakah Perbezaan Produk & Perkhidmatan Anda?
Jika kita menawarkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang juga dipasarkan oleh ramai orang di luar sana kemungkinan untuk propsek melihat dan berminat untuk membeli daripada kita adalah tipis. Bertambah teruk lagi apabila ada prospek yang beranggapan apa yang kita tawarkan adalah sama sahaja dengan produk dan perkhidmatan yang kurang berkualiti di luar sana.
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menonjolkan perbezaan serta keunikan produk dan perkhidmatan kita berbanding produk pesaing. Jadi untuk mencapai matlamat ini cuba untuk bertanya pada diri kita sendiri beberapa perkara:
- “Adakah produk saya sama dengan produk pesaing?”
- “Apakah kelebihan produk saya dan apakah pula kelemahan produk pesaing?”
- “Apakah ciri unik (cool features) yang hanya ada pada produk saya dan tiada pada produk pesaing?”
- “Bagaimana cara terbaik untuk menampakkan produk dan perkhidmatan saya ini lain dari yang lain?”
Kesemua soalan ini dapat membantu kita dalam mencungkil identiti dan keunikan produk yang ingin kita pasarkan. Secara keseluruhannya kita dapat tahu adakah produk kita terdapat pesaingan dengan tawaran pasaran yang sedia ada atau belum.
Selain itu dengan mengenali kelemahan produk pesaing ianya dapat memberikan kita satu kelebihan tambahan untuk produk kita andai kata produk kita mampu mengatasi kelemahan tersebut. Kelebihan ini boleh kita nyatakan di dalam copywriting produk kelak sebagai salah satu kelebihan produk berbanding produk pesaing.
Dengan soalan-soalan sebegini juga kita dapat tahu sifat unik yang hanya ada pada produk dan perkhidmatan kita. Juga ianya dapat membantu kita merencana strategi untuk menampakkan produk dan perkhidmatan kita ini TIDAK SAMA seperti produk biasa yang lain.
Hasil daripada jawapan soalan-soalan ini boleh dijadikan sebagai bahan atau idea ‘key point’ copywriting produk dan perkhidmatan kita.
#2: Apakah Faedah Dan Ciri-Ciri Produk/Perkhidmatan?
Satu perkara yang kita semua perlu tahu apabila kita mengenali ilmu copywriting adalah ‘features tell, benefits sell!’. Ramai yang silap apabila lebih mengutamakan tentang ciri-ciri produk di dalam copywriting berbanding menerangkan dengan lebih lanjut apa yang boleh dicapai dengan ciri-ciri produk tersebut.
Tiada siapa yang mahu membeli sebuah komputer hanya kerana ianya mempunyai memori RAM 6 GIGA. Jika anda tidak tahu apakah RAM dan kegunaannya adakah anda akan membeli komputer tersebut? Tidak bukan? Orang membeli kerana faedahnya mampu memberikan kepantasan bekerja dan mengendalikan program serta aplikasi yang berat dengan lancar.
Di sini ada satu tip yang boleh kita gunakan untuk mencari poin idea tentang faedah produk dan perkhidmatan untuk disertakan di dalam copywriting produk.
- Senaraikan kesemua ciri-ciri produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan
- Daripada senarai ciri-ciri tersebut cuba fikirkan apakah kebaikan yang boleh diperolehi dari segi kesan terhadap kehidupan dan penyelesaian masalah prospek (pengguna).
Sebagai contoh:
Sebuah penapis air mempunyai ciri tap air sejuk dan panas. Kebaikan dan faedahnya adalah pengguna boleh menggunakan terus air sejuk dan panas tersebut tanpa perlu menyejukkan di dalam peti sejuk ataupun mendidihkan air untuk memanaskannya. Sekaligus jimat masa, tenaga dan lebih mudah.
Dengan ini kita dapat membantu prospek membuat keputusan dan menjadikan mereka berminat dengan produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan. Semasa ingin menyatakan tentang faedah produk di dalam copywriting, gunakanlah bullet point kerana ianya lebih mudah dan pantas untuk disampaikan kepada prospek.
#3: Bull’s Eye, Sasaran Yang Tepat?
Adalah tidak guna menulis copywriting panjang lebar mengenai produk dan perkhidmatan yang akhirnya kita telah tersilap memilih sasaran. Sasaran bukan sahaja terhad pada sasaran pasaran semata-mata sahaja tetapi sasaran apa yang ingin dicapai dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah penting.
Justeru kajian pasaran amatlah penting untuk dilakukan. Sesebuah penulisan copywriting yang bagus dapat memilih dan mengalamatkan kepada golongan sasaran dengan betul dan tepat.
Seorang pakar komputer tidak berminat apabila kita tawarkan dengan copywriting set alat solek. Melainkan jika pakar komputer tersebut ingin membeli set alat solek untuk dihadiahkan kepada isteri atau kekasihnya.
Namun seperti yang dinyatakan, dengan hanya dapat mensasarkan golongan prospek dan pasaran yang betul sahaja belum memadai. Kita perlu tepatkan sasaran pada beberapa perkara lain lagi seperti sasaran penyelesaian masalah, sasaran pengunaan, sasaran penjimatan dan pelbagai lagi. Salah satu cara untuk kita mengkaji sasaran yang perlu kita tekankan di dalam copywriting kita adalah dengan melakukan sedikit kajian mudah di Internet.
Kajian mudah di Internet:
- Melakukan carian di forum-forum dan laman komuniti yang berkaitan dengan niche produk dan perkhidmatan anda.
- Kita boleh gunakan enjin carian Google dengan hanya menaip kata kunci (nama niche + forum)
- Anda boleh mendaftar dan menjadi ahli komuniti itu tadi dan memerhatikan perkongsian ahli komuniti
tentang apakah masalah yang sedang dihadapi dan apakah jalan penyelesaian yang dikehendaki sebagai sasaran faedah.
Dengan ini kita sudah boleh mendapat idea apakah intipati sebenar kaitan produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan dan apakah yang dimahukan oleh prospek.
Sumber 3 Elemen Kritikal Sebelum Menulis Copywriting Berkuasa!
0 Response to "3 Elemen Kritikal Sebelum Menulis Copywriting Berkuasa!"
Post a Comment