Zainun Surip selamat tiba dari Padang

SEPANG: Rakyat Malaysia, Zainun Zurip, 58, yang diserang angin ahmar ketika bercuti di Bukit Tinggi, dekat Padang, Sumatera Barat, Indonesia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Beliau yang berasal dari berasal dari Sungai Rambai, Jasin, Melaka itu sepatutnya menghabiskan percutian bersama anaknya, Nur Ain Azman, 29, namun dia diserang angin ahmar pada hari kedua percutian.

Nur Ain berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) yang banyak membantu proses kepulangan ibunya termasuk menaja semua kos termasuk perubatan dan tiket penerbangan balik yang dianggarkan kira-kira RM15,000.

"Alhamdulillah, syukur tak terkata apabila perjalanan kami hampir tiga jam dipermudahkan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Malah, ibu turut menunjukkan perubahan yang positif sehingga hari ini dan saya berharap supaya ibu kembali sihat seperti sedia kala," katanya ketika ditemui di klia2 di sini, hari ini.

Kepulangan mereka disambut oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Setiausaha BiKUM, Awie Shoubli Jamal.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada BiKUM yang banyak memberi bantuan sepanjang proses kepulangan mereka.

"BiKUM menaja semua kos yang ditanggung Zainun termasuk perubatan di rumah sakit dan perjalanan pulang.

"Selain itu, mereka turut menghantar dua doktor dari Pasukan Perubatan BiKUM iaitu Dr Akmal Saleh dan Dr Erhan Rahimi untuk membantu membawa pulang pesakit berkenaan dalam kadar segera.

"Malah, saya turut menghantar beberapa sukarelawan bagi membantu mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersimpati terhadap kejadian yang menimpa Zainun dan bersedia membantu proses kepulangan mereka ke tanah air.

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi membawa pulang Zainun ke Malaysia, Semoga beliau segera sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.



Sumber Zainun Surip selamat tiba dari Padang

Related Posts :

0 Response to "Zainun Surip selamat tiba dari Padang"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect