Terengganu kumpul RM2.2 juta untuk Rohingya

KUALA TERENGGANU: Inisiatif kerajaan negeri menubuhkan Tabung Rohingya Terengganu sejak September lalu berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM2.2 juta.

Tabung yang ditubuhkan hasil cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu mencatat kutipan memberangsangkan daripada pelbagai pihak walaupun ditubuhkan dalam tempoh singkat.

Ahmad Razif berkata, dana yang dikutip itu akan digunakan untuk membantu menyediakan keperluan asas ratusan ribu pelarian Islam Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh.

Katanya, penubuhan tabung itu adalah atas dasar keprihatinan dan sifat kemanusiaan terhadap penderitaan pelarian Rohingya di 68 pusat pelarian yang menjadi mangsa penindasan di negara sendiri.

"Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Rozi Mamat merangkap ketua sukarelawan sekretariat akan ke Bangladesh untuk melihat sendiri penderitaan mereka dan cuba membantu serta menyampaikan sumbangan yang diperoleh pada malam ini.

"Kami sedang menunggu kelulusan daripada Wisma Putra kerana untuk ke Cox's Bazar bukan mudah. Ia membabitkan soal keselamatan," katanya selepas Malam Terengganu Untuk Rohingya 'Sekampit Beras Untuk Rohingya' di Stadium Negeri di sini, malam ini.

Majlis itu yang menarik lebih 5,000 hadirin, turut menampilkan penyanyi lagu ketuhanan terkenal dari Indonesia, Opick.

Malah, Ahmad Razif turut membacakan sajak bertajuk 'Mereka Yang Ku Lihat Asing Di Tanah Sendiri'.

Ahmad Razif berkata, buat masa ini kerajaan negeri belum lagi menentukan jumlah sukarelawan yang akan pergi ke kem berkenaan.

"Kita akan dapatkan maklumat daripada Mercy Malaysia untuk melihat apa keperluan yang perlu dibawa baik daripada segi kesihatan atau sumber lain.

"Kita juga akan mendapatkan pandangan Mercy Malaysia bentuk bantuan terbaik sama ada penyerahan wang tunai atau berbentuk barangan," katanya.

Ahmad Razif berharap program perintis kerajaan negeri itu dapat dicontohi negeri lain terutama dalam membantu saudara sesama Islam di sana.

Orang ramai masih boleh terus menyampaikan sumbangan untuk Tabung Rohingya Terengganu sehingga kerajaan negeri mengumumkan kutipan tabung itu ditutup kelak.



Sumber Terengganu kumpul RM2.2 juta untuk Rohingya

0 Response to "Terengganu kumpul RM2.2 juta untuk Rohingya"

Post a Comment