Datuk Seri Shafie Apdal (baju putih) dibawa menaiki ambulans selepas dikenakan reman empat hari bermula 20 Oktober 2017. ― Foto oleh Julia ChanKOTA KINABALU, 20 Okt ― Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan Mohd Shafie, 60, sehingga 23 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Sementara itu, seorang jurutera awam yang juga perunding sebuah syarikat, Amarjit Singh turut direman selama enam hari bermula hari ini.
Amarjit , 47, ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah semalam berhubung penyelewengan dana berkenaan.
Dengan penahanan Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna dan jurutera berkenaan, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu dana di Sabah kini berjumlah 11 orang.
Dua daripada 11 individu berkenaan ialah adik kepada Mohd Shafie iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Yusof Apdal dan Hamid Apdal.
Daripada jumlah itu, lapan daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. ― Bernama
Sumber Shafie Apdal direman empat hari kes dana RM1.5 bilion
0 Response to "Shafie Apdal direman empat hari kes dana RM1.5 bilion"
Post a Comment