Mavcom akan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan tidak berlaku penindasan dalam pengenaan tambang. — Foto Malay MailKUALA LUMPUR, 23 Okt — Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan memantau kadar tambang syarikat penerbangan supaya tidak membebankan pengguna terutama di musim cuti sekolah atau perayaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata suruhanjaya itu akan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan tidak berlaku penindasan dalam pengenaan tambang.
“Mavcom akan meneliti rungutan ini secara serius dan memastikan bahawa tambang melampau ini mesti dihentikan dan diatasi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017.
Terdahulu, beberapa anggota Parlimen mengemukakan rungutan rakyat yang mendakwa terdapat syarikat penerbangan mengenakan tambang tinggi setiap kali tiba musim cuti sekolah atau perayaan.
Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mencadangkan Kad Diskaun Penerbangan Mahasiswa 1Malaysia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada para mahasiswa menggunakan perkhidmatan penerbangan.
“Saya difahamkan ada pelajar yang jauh dari kampung seperti Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung, mereka cuma berpeluang pulang ke kampung sekali sahaja setahun pada musim perayaan kerana harga tiket penerbangan yang mahal,” katanya.
Manakala Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mencadangkan suruhanjaya menetapkan harga siling terhadap tiket penerbangan supaya tidak membebankan pengguna.
Dalam pada itu, Ab Aziz juga memberi jaminan caj pengawal seliaan maksimum sebanyak RM1 kepada setiap penumpang tidak akan dinaikkan.
“Ia telah ditetapkan pada kadar maksimum RM1 dan telah dikira berdasarkan kos operasi. Jangan bimbang tentang kenaikkan, ia tidak akan dinaikkan lebih dari itu,” katanya.
RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017 antara lain bertujuan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu mengenakan penalti kewangan serta memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawal seliaan.
RUU itu mencadangkan caj pengawal seliaan terhadap penumpang di setiap lapangan terbang pada harga maksimum RM1 bagi memastikan aspek ekonomi, dan keselamatan pengguna dipenuhi oleh penyediaan perkhidmatan penerbangan.
Pindaan RUU itu juga bagi membolehkan Mavcom mengeluarkan garis panduan, pekeliling, arahan, nota amalan atau notis bagi memudahkan amalan terbaik dalam jangka masa yang lebih singkat.
Persidangan bersambung esok. — Bernama
Sumber Mavcom pastikan tambang melampau pesawat dihentikan
0 Response to "Mavcom pastikan tambang melampau pesawat dihentikan"
Post a Comment