Namun, pasangan suami isteri, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff, 63, dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, 57, reda serta akur atas keputusan anak mereka, Syed Saddiq untuk menangguhkan pengajian dalam Ijazah Dasar Awam di universiti itu bagi menumpukan perhatian terhadap perjuangan politiknya.
Sharifah Mahani berkata, mereka percaya keputusan itu juga amat sukar bagi Syed Saddiq kerana bidang pengajian itu merupakan cita-citanya, malah peluang menerima tajaan kira-kira RM400,000 dari universiti berprestij itu seperti penghormatan bagi anaknya itu.
“Sebagai ibu sudah tentu saya mahu dia melanjutkan pengajiannya. Dia juga memang minat dalam bidang ijazah yang disambung dan kami bersyukur dia mendapat peluang ini.
“Tetapi dia juga sudah terangkan kepada kami tentang hasratnya menangguhkan pengajian untuk berjuang bersama anak-anak muda di sini, jadi kita kena reda dengan keputusan dia.
“Sebagai ibu bapa, kami akan mendoakan terbaik untuknya kerana kita tidak boleh paksa dia, kami juga memahami dia yang sentiasa berusaha mendapatkan apa yang diinginkan,” ujarnya.
Katanya, sejak kecil, anak bongsu daripada empat beradik itu mempunyai semangat patriotik yang tinggi, malah dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa dari dalam dan luar negara.
“Dia juga seorang yang sangat berdikari sejak kecil sehinggakan kemasukan dia ke Maktab Tentera Diraja diuruskan sendiri olehnya tanpa pengetahuan kami sehingga dia memberitahu kami dia diterima masuk.
“Bermula dari situlah sikap kepimpinannya mula menonjol malah dia sangat berfikiran terbuka dan bergaul dengan rakan-rakan pelbagai bangsa tanpa rasa prejudis,” katanya.
Sementara itu, Syed Abdul Rahman berkata, walaupun berasa terkejut dengan keputusan itu, namun dia sentiasa menaruh kepercayaan dan memberi sokongan terhadap Syed Saddiq serta berharap anaknya itu akan menyambung semula pengajiannya pada masa akan datang.
“Sokongan dan kepercayaan keluarga amat penting, walau apa pun yang dia lakukan saya sentiasa ingatkan dia agar menjaga solat dan mendoakan yang terbaik untuknya setiap hari,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq yang merupakan Ketua Armada Bersatu mengumumkan keputusannya menangguhkan pengajian bagi menumpukan perhatian terhadap perjuangannya membela rakyat.
Sumber Keluarga reda dengan keputusan Syed Saddiq
0 Response to "Keluarga reda dengan keputusan Syed Saddiq"
Post a Comment