Jalan ke Institut Aminuddin Baki runtuh sedalam 30 meter

Runtuhan tanah berlaku di jalan utama dari asrama induk kuarters perumahan baru ke menara Institut Aminuddin Baki. — Foto ihsan Facebook/Informasi MalaysiaRuntuhan tanah berlaku di jalan utama dari asrama induk kuarters perumahan baru ke menara Institut Aminuddin Baki. — Foto ihsan Facebook/Informasi MalaysiaKUANTAN, 6 April — Sebahagian jalan utama ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands runtuh awal pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bentong Leftenan (PA) Mohd Zulkhairi Adek berkata runtuhan sedalam kira-kira 30 meter itu disedari oleh pengawal keselamatan institut berkenaan pada pukul 1.30 pagi.

“Runtuhan berlaku di jalan utama dari asrama induk kuarters perumahan baharu ke menara IAB. Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.

“Buat sementara waktu, bekalan elektrik dihentikan sementara kerana terdapat kabel elektrik di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zulkhairi menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun terdapat kerosakan pada sebuah pondok senaman yang berhampiran kawasan kejadian.

Beliau menambah kejadian berlaku semasa cuaca baik dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang masih menjalankan siasatan jika terdapat paip pecah di kawasan itu.

Sementara itu, timbalan pengarah JBPM Pahang Mohd Sani Harul berkata jalan itu kini ditutup di kedua-dua arah untuk semua kenderaan.

“Bomba juga mengarahkan sebuah bangunan yang terletak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian untuk dikosongkan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Mohd Sani menambah pihaknya juga telah memasang pita keselamatan di kawasan itu. — Bernama



Sumber Jalan ke Institut Aminuddin Baki runtuh sedalam 30 meter

0 Response to "Jalan ke Institut Aminuddin Baki runtuh sedalam 30 meter"

Post a Comment