PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob, dikenakan denda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah memandu di lorong kecemasan.
Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos, turut memerintahkan Yusoff, 58, selaku orang kena saman (OKS) menjalani tambahan hukuman penjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Yusoff yang kini bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kemudian membayar denda berkenaan.
Pada 25 Julai lalu, Yusoff, 58, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di lorong kecemasan dalam kereta bernombor plet BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 119 (1) (c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda, jika sabit kesalahan.
Pada 21 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ab Karim Ab Rahman, mengarahkan Yusoff didakwa semula, dalam satu permohonan semakan semula kes berkenaan.
Wang denda RM600 yang dibayar dikembalikan dan kes itu akan dibicarakan semula di hadapan majistret lain.
Terdahulu, Yusoff dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, meminta dikenakan hukuman setimpal kerana pertuduhan bukan mengikut Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, memohon Yusoff dikenakan hukuman penjara dan denda, dengan alasan OKS jawatan tinggi dalam JPJ dan dipertanggungjawabkan untuk mengangkat undang-undang.
"Satu mesej tegas perlu disampaikan kepada semua agensi penguatkuasaan dan sebagai pengajaran kepada OKS serta orang awam," katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, selepas prosiding ketika diminta mengulas mengenai hukuman itu, Yusoff bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen sebaliknya menyerahkan kepada peguamnya untuk memberikan kenyataan.
Baljit Singh, ketika ditanya sama ada pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret itu, beliau berkata pihaknya belum mendapat sebarang arahan daripada anak guamnya.
Ditanya sama ada hukuman itu akan memberi sebarang kesan kepada Yusoff dalam perkhidmatannya, katanya, ini adalah kesalahan biasa yang dilakukan pesalah trafik.
"Kesalahan ini bukan satu kes yang boleh didaftarkan sebagai pendaftaran jenayah," katanya yang berada di sebelah Yusoff yang kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum itu.
Sumber Bekas TKP JPJ didenda RM2,000
0 Response to "Bekas TKP JPJ didenda RM2,000"
Post a Comment