LIMA beradik Sidek pernah mencetus satu fenomena luar biasa dalam arena badminton. Dalam mencapai kejayaan semestinya banyak dugaan dan cabaran harus ditempuhi lima beradik ini dalam mencipta nama mereka.
Dirotan, ketuk ketampi dan dikurung di dalam reban ayam antara denda yang harus diterima kepada Misbun (Datuk), Razif (Datuk Seri), Jalani (Datuk Seri), Rahman dan Rashid sekiranya mereka tidak patuhi peraturan dan arahan yang diberikan oleh bapa mereka, Datuk Sidek Abdullah Kamar.
Mengimbas kembali komik ‘Anak-Anak Sidek’ yang popular pada era 1990-an, begitulah situasinya.
Deretan kejayaan tersebut cukup untuk membuktikan kegigihan serta wawasan besar Sidek, anak jati Banting, Selangor sejak 1960-an.
Paling tidak boleh dilupakan adalah penantian 25 tahun rakyat Malaysia akhirnya tercapai apabila impian untuk melihat Piala Thomas kembali ke bumi Malaysia pada tahun 1992 menjadi kenyataan.
Sebagai simbolik yang menyimpan pelbagai memori, sebuah tugu berbentuk raket dan bulu tangkis dibina berdiri megah di depan rumahnya di Kampung Kanchong Darat, Banting.
Berkongsi tentang cerita silam itu, anak sulung kepada pasangan Sidek dan Rukinah Sulaiman, Rusitah, 59, tidak lokek untuk menceritakannya.
“Kalau hendak cakap tentang cara didikan arwah abah (Sidek) dulu, memang tegas.
“Pukul 6 pagi semua mesti dah bangun untuk latihan badminton, jam 7 pagi semua dah ada dalam court (gelanggang). Kalau disuruh bangun, tapi tidak bangun memang kena marah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kanchong Darat, Banting.
Menurut Rusitah, arwah abahnya dulu memang menekankan aspek pemakanan.
Katanya lagi, waktu makan semua mesti ada tidak kira pagi atau tengah hari.
“Ya…itu yang ditekankan kepada kami semua adik-beradik.
“Kalau ada pertandingan pula, telur setengah masak memang wajib untuk setiap seorang.
“Kalau tengok anak tak bermaya saja, dia suruh makan telur setengah masak..makan dan minum memang betul-betul dijaga,” katanya.
Piala Thomas 1992 paling tidak boleh dilupakan
Kejayaan pasukan badminton negara merangkul Piala Thomas pada 16 Mei 1992 adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam lipatan sejarah sukan negara.
Rusitah berkata, kenangan menyaksikan secara langsung di Stadium Negara bersama ibu bapanya serta suaminya memang tidak dapat dilupakan.
“Pada hari bakal berlangsungnya perlawanan, kami sekeluarga menaiki kereta untuk ke Kuala Lumpur. Kami tiba di Kuala Lumpur dan arwah abah sempat membawa kami singgah sebentar ke rumah rakannya yang tidak jauh dari stadium sebelum kami bertolak ke stadium.
“Bila masuk dalam stadium perasaan berdebar melihat pasukan Malaysia bermain memang ada,” katanya.
Tambahnya, detik dinantikan tiba apabila dinobatkan menjuarai Piala Thomas 1992 dan ketika itu sukar hendak meluahkan dalam kata-kata kerana ia adalah memori yang tidak boleh dilupakan masa itu apatah lagi dengan menyaksikan tiga beradik Razif, Jalani dan Rashid beraksi.
Rusitah yang ketika itu sedang mengandungkan anak kelimanya berkata, abah terus pergi ke arah mereka (Razif, Rashid dan Jalani) memeluk mereka.
“Mengalir air mata kegembiraan saya waktu itu dan waktu itu juga saya berasa syukur mengenangkan tidak sia-sia pengorbanan abah mendidik anak-anaknya sehingga ke tahap ini.
“Didikan yang diberi berbaloi dan saya tidak pernah lagi lihat seorang bapa gigih mengajar anak-anaknya dalam badminton sehingga berjaya,” katanya.
Ketika ditanya adakah arwah Sidek sering hadir ke perlawanan yang disertai anak-anaknya, sambil tersenyum, Rusitah berkata ya.
“Kalau perlawanan itu di Malaysia, dia akan pergi sebagai galakan dan perangsang. Memang merata dia pergi dan yang penting sekali anak dia ada main,” katanya.
Sidek dahulunya adalah pemain badminton
Menceritakan lagi kenangannya itu, Rusitah turut memberitahu bahawa arwah bapanya itu merupakan pemain badminton di Kuala Langat dahulu.
“Dia memang aktif dahulu ketika sekitar tahun 1960-an sebelum berhenti bermain kerana sakit lutut.
“Masa aktif dahulu, dia (Sidek) ada pasukannya sendiri. Saya kurang ingat nama pasukannya…tidak silap saya namanya ‘Star Light’ yang terdiri daripada semua bangsa, Melayu, Cina dan India,” katanya.
Kini, Malaysia dilihat seperti ketandusan bakat-bakat yang mempunyai semangat dalam mengharumkan sukan badminton.
Semua pihak harus membuka mata untuk melahirkan bakat-bakat yang sebenarnya mungkin kita terlepas pandang.
Keluarga Sidek adalah satu contoh pengorbanan semata-mata mahu melihat badminton negara di mata dunia.
Sumber: Sinar Harian
Sumber ‘Memori Piala Thomas 1992, tidak akan kami lupa’: Kakak sulung adik beradik Sidek
0 Response to "‘Memori Piala Thomas 1992, tidak akan kami lupa’: Kakak sulung adik beradik Sidek"
Post a Comment