Isu Kereta klon: “Ramai tertipu iklan di Facebook”

Kereta klon: Ramai tertipu iklan di Facebook

Helah atau modus operandi yang digunakan penjenayah mahu pun sindiket kini boleh dikatakan lebih moden.

Penggunaan internet kini bukan sahaja diguna pakai oleh golongan korporat, pelajar mahu pun mana-mana yang berkenaan, namun tidak dinafikan kumpulan penjenayah juga menjadikan medium ini bagi ‘melariskan’ jualan mereka.

Akhir-akhir ini masyarakat sering diperdengarkan dengan berita penjualan kereta mewah yang diklon dan dijual dengan harga yang jauh daripada nilai pasaran.

Tapi, itulah sindiket kereta klon.

Tidak dinafikan sindiket ini bergerak licik dengan menjual, menipu dan memalsukan dokumen kereta semata-mata mengaut keuntungan yang dikategorikan amat lumayan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata, kereta klon didefinisikan sebagai kenderaan yang digunakan di atas jalan raya atau mana-mana premis yang menyerupai kenderaan yang lain (berdaftar) dari segi jenis, buatan, model dan nombor pendaftaran.

Menurutnya, kereta klon tidak dibuat tetapi kenderaan klon adalah kenderaan yang menggunakan kenderaan lain.

“Kebiasaannya kenderaan ini adalah kenderaan yang diseludup masuk dari negara jiran atau kenderaan yang telah berdaftar di Malaysia tetapi menggunakan identiti kenderaan lain.

“Bagi kenal pasti kenderaan itu sama ada klon atau tidak, harganya jauh berbeza mengikut harga pasaran. Jika ada harga kereta itu jauh lebih murah, pasti ada yang tidak kena,” katanya kepada Sinar Online.

Tambahnya, siasat dahulu sama ada bawa ke JPJ untuk buat semakan untuk pengesahan.

Katanya, sekiranya telah tertipu, buat laporan polis untuk tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ada beberapa kes di mana terdapat sehingga lima buah kereta klon, tetapi ia hanya dalam jenis dan model yang sama. Bagi mengelakkan ia sukar dikesan oleh pemilik sebenar kereta, kereta klon ini tidak berada dalam jarak yang dekat, tetapi dalam jarak yang jauh seperti di Perlis dan Johor,” katanya.

Kenderaan klon ini biasanya membabitkan kereta import seperti Mercedes, Honda Odyssey, BMW dan Mazda RX-8 dan beberapa model lain yang boleh dijual serendah RM3,000 bergantung pada model dan jenisnya.

Bagaimana pengklonan dibuat

Menurut Nazli, penjenayah akan memindahkan nombor pendaftaran dan nombor casis palsu, lazimnya daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan, kepada kereta klon.

“Kereta klon kemudiannya diberikan identiti baharu dengan segala dokumen disediakan seperti cukai jalan dan geran kenderaan.

Sindiket guna media sosial sebagai modus operandi

Sindiket ini kini berani mempromosikan di laman sosial seperti Facebook, Wechat, Instagram dan blog.

“Benda ini bukanlah baharu, tapi sekarang semakin menonjol tindakan mereka.

“Mereka terang-terangan buat benda ini untuk menipu ramai pembeli. Tapi kebiasaannya nombor telefon yang dipaparkan di iklan itu bukan milik mereka.

“Bila ada pembeli (mangsa) yang berminat dan terdesak hendak beli, dia perlu masukkan duit dan sebagainya sebelum urusan tukar nama dan dokumen dibuat,” kata Nazli.

Beliau menambah, sindiket ini juga licik, mereka tahu sehingga tahap mana hendak promosi di laman sosial bagi mengelakkan mereka ditangkap.

Jelasnya, tidak dinafikan Honda Odyssey antara model yang paling laris berbanding kereta model sedan lain.

“Selain itu sindiket ini juga dikesan menggunakan aplikasi WhatsApp sesama mereka bagi mempromosikan penjualan kereta klon mereka,” katanya.

Ada yang takut sehingga melibatkan kemalangan

Menurut Nazli, ada antara pemilik kereta klon yang dikesan oleh pihak berkuasa menghilangkan diri.

“Bila kita telah kesan mereka, ada yang melarikan diri sehingga ada yang menyebabkan kemalangan.

“Ada sampai melanggar orang awam dan sebagainya. Ini tidak dinafikan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai memang dinasihatkan untuk tidak membeli kereta klon, walaupun murah ia tetap berisiko kerana mereka tidak berada dibawa lindungan insuran.

Katanya, sekiranya tertangkap, pemilik kereta klon ini bukan sahaja didenda dengan jumlah bayaran yang mencecah puluhan ribu, malah boleh dipenjarakan.

Mastermind hanya mengarah sahaja

“Mungkin setiap negeri ini memiliki ‘mastermind’ (dalang) masing-masing.

“Bila ada pembeli, dalang ini akan mengarahkan ‘anak buah’ mereka bagi menguruskan semua urusan berkenaan,” kata Nazli lagi.

Katanya lagi, operasi kini dijalankan dari semasa ke semasa dan sekiranya berjaya mengesan kenderaan klon ini, pihaknya akan tahan sebelum kereta dibawa balik untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, selain itu, tindakan juga bleh dibuat bukan hanya melalui operasi sekatan jalan raya sahaja, tetapi melalui aduan juga.

“Kita akan siasat berdasarkan aduan yang diterima sebelum menghantar anggota untuk intipan. Bila masa dan keadaan sesuai kita akan tahan,” katanya.

Statistik kenderaan klon yang dirampas

Bermula pada tahun 2011 sehingga 2 Ogos 2017 sebanyak 372 buah kenderaan telah disita.

Daripada jumlah itu, sebanyak 45 buah telah dikenakan denda di mahkamah dengan jumlah denda RM712,000.

Selain itu, jumlah kenderaan klon yang dilucut hak termasuk yang telah bayar denda di mahkamah adalah 144 buah.

Tindakan undang-undang

a.     Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Memiliki atau menggunakan kenderaan tidak didaftarkan yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM10,000.

b.     Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

c.     Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Mempamerkan lesen kenderaan yang bukan kepunyaan kenderaan tersebut yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

d.     Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Tiada perlindungan insuran yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

e.     Soal siasat terhadap pemandu adalah di bawah Seksyen 114(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Isu Kereta klon: “Ramai tertipu iklan di Facebook”

Related Posts :

0 Response to "Isu Kereta klon: “Ramai tertipu iklan di Facebook”"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect