SIAPA sebenarnya lelaki pilihan Elfira Loy? Adakah Sufian Suhaimi atau Zizan Razak yang dikatakan sedang menambat hati pelakon berusia 23 tahun ini. Sebelum ini Baim Wong turut dikait pernah bercinta dengan Elfira namun cinta pelakon dari Indonesia itu dikatakan ditolak gadis bertubuh kecil ini.
Yang pasti dalam soal membabitkan perasaan ini, Elfira ada perspektif tersendiri. Walaupun dikatakan jatuh cinta dengan Sufian selepas menerima 23 kuntum bunga ros sempena hari jadi ke-23 tahun pada 8 Mac lalu, namun Elfira bukan jenis mudah terpesona dengan lelaki.
Tempias daripada cerita jambangan bunga Sufian itu juga menimbulkan cerita baharu apabila Sufian didakwa meninggalkan bekas kekasih semata-mata mengejar cinta Elfira.
Ibu Elfira, Filzah Yusoff, 53, turut menyatakan rasa bimbang melihat perkembangan cerita anaknya apabila berterusan dikaitkan bercinta dengan lelaki sejak kebelakangan ini.
Wanita menyenangkan Sufian
SUFIAN turut terkesan apabila terlalu banyak cerita ‘sampingan’ yang wujud selepas cerita pemberian jambangan bunganya kepada Elfira diketahui umum sebelum ini.
Pun begitu Sufian percaya topik yang sedang hangat diperkatakan itu berlaku dalam kalangan pengguna laman sosial atau netizen yang tidak henti-henti mempertikaikan tindakannya selama ini.
Hakikatnya, Sufian mengakui episod bunga 23 kuntum itu bukan satu masalah yang besar memandangkan status dia dan Elfira masing-masing bujang dan bebas untuk melakukan apa saja asalkan tidak membelakangi agama dan undang-undang.
“Nitezen yang harus dipersalahkan dalam hal ini kerana sengaja mencetuskan tanda tanya. Malah mereka juga yang bertanggungjawab atas segala tuduhan, seolah-olah ada saja tidak kena dilakukan saya di mata mereka.
“Hinggakan timbul cerita bekas kekasih saya kecewa dengan sikap saya sendiri. Hakikatnya, kami masih berhubungan baik walaupun selepas putus hujung tahun lalu,” ujar Sufian yang enggan mengenangkan semula kisah cintanya dengan bekas kekasih.
Dalam memberi komen tidak puah hati itu, Sufian tetap tidak menolak hakikat, dia cukup menyenangi peribadi dan cara pemikiran terbuka Elfira. Bagaimanapun setakat itu sahaja. Tidak pula dia membayangkan pelakon itu adalah calon isteri yang sesuai buat dirinya. Barangkali masih terlalu awal, begitulah.
Komitmen sebagai pelajar tahun akhir sarjana dalam bidang komunikasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan kerjaya sebagai penyanyi sudah cukup membikin jadual hariannya padat.
“Dalam tempoh sebulan perkenalan antara saya dengan Elfira sudah cukup untuk membayangkan keperibadian sebenar dia. Malah, kami semakin rapat selepas apa yang berlaku baru-baru ini.
“Terus terang Elfira adalah gadis yang menyenangkan. Macam-macam topik boleh kita bualkan kalau ada masa bersama. Cara pemikirannya juga tidak tertutup, dia terbuka, senang berbincang.
“Apapun saya bersyukur kerana ada hikmah yang berlaku selepas gosip cinta ini bertebaran. Bukan saja rapat dengan Elfira malah hubungan dengan mama dia pun jadi lebih baik. Mama Elfiralah yang banyak memberi nasihat dan memberi tunjuk ajar kepada saya agar tidak terlalu tertekan memikirkan isu ini,” kongsi Sufian, jujur.
Jangan sensasikan anak saya – Filzah
Filzah Yusoff meluahkan kesal apabila anaknya, Elfira tidak henti-henti dikaitkan dengan artis lelaki. Gosip yang melanda anak gadis itu turut membuatkan dirinya dipandang serong segelintir pihak.
“Apa perasaannya jika ada pihak yang berterusan mempertikaikan cara kita mendidik anak? Ada yang kata kenapa lepaskan anak macam tu, sampai dikaitkan bercinta dengan macam-macam lelaki?
“ Tuduhan itu memperlihatkan seolah-olah saya sangat terdesak nak bermenantu ataupun langsung tak ada maruah hingga sewenang-wenangnya membiarkan anak kita bercinta dengan lelaki,” jelasnya, kesal.
Menurut Filzah, dia cukup kesal atas apa yang berlaku walaupun sekadar gosip cinta.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha untuk mensensasikan anak dara saya. Berilah ruang kepada dia untuk bernafas. Saya sendiri tidak pernah mendesak dia untuk segera menamatkan zaman bujang. Lagipun soal jodoh, siapalah saya untuk menentukan,” katanya lagi.
Bukan jenis sakan bercinta – Elfira
DALAM kesal namanya tidak pernah habis dikaitkan dengan artis lelaki, Elfira tetap sporting memberi jawapan akan soalan membabitkan teman istimewa. Mengakui tidak pernah terlalu cerewet dalam soal bercinta, apa yang menjadi keutamaannya adalah proses komunikasi yang lancar antara dua pihak.
“Restu daripada orang tua juga amat penting dalam sesebuah hubungan. Saya memerlukan perkara yang satu ini sebelum melangkah ke fasa lebih serius bagi memastikan hubungan itu tidak bermasalah di kemudian hari.
“Atas sebab ini, saya tidak pernah lupa untuk memperkenalkan lelaki yang mendekati saya pada mama. Seperti dalam ujian saringan, mama juga turut akan berkenalan dengan lelaki yang sama.
“Jangan salah faham. Tujuannya bukan untuk merendah-rendahkan maruah lelaki itu sebaliknya ia adalah langkah keselamatan buat saya yang bukan jenis yang bercinta sakan.
“Saya lebih selesa berkawan dengan lelaki. Cuma kalau lelaki itu nak lebih daripada hubungan biasa, kena rujuk perkara itu kepada mama saya,” jelas Elfira berhubung pendirian diri. Membuka topik dakwaan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Sufian gara-gara terpesona dengan menerima jambangan bunga yang diberikan, bagaimanapun Elfira menganggap penyanyi lagu Terakhir itu sebagai rakan biasa.
Tidak pernah menganggap hubungan mereka lebih dari itu, Elfira juga tidak menyangka tindakannya memuat naik gelagat Sufian yang menghantar bunga kepadanya di Instagram Stories menjadi bahan bualan peminat.
Isu semakin memanas apabila ditambah dengan tindakan berani mati Elfira yang dikatakan sengaja menyuap makanan ke mulut Sufian sewaktu sambutan hari jadinya baru-baru ini.
“Adegan suap-menyuap itu adalah permintaan daripada jurugambar yang bertugas pada majlis itu. Pun begitu, khilaf saya sebab tak tolak permintaan itu awal-awal. Saya beranggapan semua orang okay dalam hal itu. Nyata tidak, sebab ada juga pihak yang merasakan tindakan itu keterlaluan, tak sesuai dengan imej perempuan bertudung. Paling hebat dituduh sebagai punca perpisahan Sufian dengan bekas teman wanitanya sebelum ini. Walhal saya dengan Sufian bukannya ada apa-apa pun,” kata pelakon yang dikenali menerusi teater Ali Baba: The Musical pada 2006 ini.
Begitu juga dengan Zizan baru-baru, Elfira juga enggan memperpanjangkan gosip tersebut kerana tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.
Sumber: Utusan Online
Sumber Cinta yang disembunyikan? Siapa sebenarnya lelaki pilihan Elfira Loy?
0 Response to "Cinta yang disembunyikan? Siapa sebenarnya lelaki pilihan Elfira Loy?"
Post a Comment