LAGU Dara Pujaan dan Ayahku Kahwin Lagi cukup memberi makna kepada penyanyi era 1960an, Ramli bin Lazim ataupun lebih dikenali dengan nama pentasnya, L Ramli.
Memulakan kerjaya nyanyian sekitar 1965, anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah menyangka dua lagu tersebut berjaya mengubah kehidupannya menjadi seorang yang dikenali ramai.
“Dua lagu tersebut memang lagu ‘cari makan’ saya, bukan sahaja ketika zaman kegemilangan dulu, tetapi sehingga hari ini pun orang masih ingat saya dengan lagu tersebut dan ia menjadi lagu wajib untuk saya nyanyikan.
“Tapi yang lucunya, dulu saya bebas untuk menyanyikan lagu Ayahku Kahwin Lagi kat mana-mana saja tapi sekarang ini nak nyanyi lagu tu kena tengok dulu siapa tetamunya sebab kalau ada yang kahwin dua, lagu tu dah jadi sensitif pula.
“Maklumlah dulu buat persembahan secara terbuka, jadi tiada siapa yang kisah kalau terkena, tapi sekarang ni saya banyak menyanyi di majlis-majlis tertutup yang dihadiri oleh tetamu-tetamu tertentu, jadi kenalah jaga sensitiviti,” ujarnya.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, kata L Ramli, segalanya bermula apabila dia sering hadir membuat rakaman program nyanyian di Radio Malaysia Pulau Pinang. Ketika itu hanya dilakukan secara suka-suka mengisi ruang disediakan.
“Mungkin ada ingat saya jadi artis selepas masuk pertandingan nyanyian ketika itu, tapi sebenarnya peluang merakamkan album itu datang selepas saya menyertai program di Radio Malaysia Pulau Pinang.
“Selepas beberapa kali menyertai program itu, tiba-tiba saya diberitahu ada sebuah syarikat rakaman yang tertarik dengan suara saya dan berminat untuk menawarkan saya menjadi artis rakaman dan buat album,” katanya yang ketika itu bekerja sebagai pembantu pergigian di sebuah hospital.
Menurut L Ramli lagi, bermula daripada situlah kerjaya nyanyiannya bermula dan namanya dikenali ramai sebaris dengan rakan-rakan seangkatannya yang lain.
“Dara Pujaan ciptaan Ismail Aziz menjadi lagu pertama yang mengangkat nama saya sehingga dikenali ramai dan ia sungguh di luar jangkaan saya.
“Sebelum menjadi artis rakaman, saya hanya bermain pancaragam dengan Orkes Sri Melur yang banyak menyanyikan lagu-lagu Hindustan secara di pertunjukan-pertunjukan kecil sahaja dan kemudiannya bersama Orkes Teruna Ria,” jelasnya.
Peminat ajak kahwin
Berkongsi tentang kenangan yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini, kata bapa kepada empat orang anak ini lagi, ketika namanya berada di puncak, ramai peminat yang menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
“Pelik sungguhlah saya dulu kerana ramai peminat tidak kiralah anak dara atau isteri orang, minat sangat dengan saya sampai ajak saya kahwin.
“Pernah sekali pada 1966, ada seorang anak dara tiba-tiba muncul di depan rumah saya sambil bimbit beg kain baju beritahu dia lari dari rumah sebab mahu datang jumpa dan ajak saya kahwin.
“Mujurlah isteri saya waktu itu sangat memahami keadaan dan kami bincang elok-elok dan pujuk peminat tadi supaya fikir balik apa yang dia buat tu,” ceritanya sambil ketawa.
Konsert di Istana Budaya
Merupakan sahabat baik kepada kepada penyanyi Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin dan A Halim dan lain-lain, kata L. Ramli, walaupun masing-masing bersaing dalam industri seni, namun mereka sentiasa saling membantu antara satu sama lain.
“Kami bersaing, tapi bersaing secara sihat dan tidak pernah masing-masing cuba nak senang seorang, melainkan mahu bersama rakan-rakan.
“Kalau saya tiada band pemuzik yang mengiringi ketika membuat persembahan, A Rahman Hassan memang selalu tawarkan diri untuk back up saya dan kawan-kawan yang lain.
“Malah kalau kebetulan buat persembahan majlis sama, kami suka pergi sama-sama dan kadang-kadang kongsi satu kereta untuk memudahkan semua serta luangkan masa untuk bertukar pendapat,” katanya yang pernah menghasilkan 12 album ini.
L Ramli masih aktif menyanyi sehingga ke hari ini dan terbaru, penyanyi yang suka berjenaka ini bakal tampil dengan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 3 hingga 5 Mac depan.
“Alhamdulillah, walaupun kami semua sudah berusia dan zaman Pop Yeh Yeh dah berlalu masih lagi ada pihak yang mahu melihat kami membuat persembahan dan sentiasa mengingati kami semua.
“Istana Budaya terutamanya sentiasa memberikan kami ruang untuk dan saya kira hampir saban tahun kami dipanggil untuk menjayakan konsert di sini dan ia membuat kami rasa betul-betul dihargai.
Sumber: Media Hiburan
Sumber L Ramli pelik anak dara dan isteri orang minat sampai ajak kahwin
0 Response to "L Ramli pelik anak dara dan isteri orang minat sampai ajak kahwin"
Post a Comment