Bagi yang sudah disahkan menghidap penyakit tersebut pula, ramai memilih untuk ‘lari’ daripada mendapatkan rawatan di hospital dengan mencari perubatan alternatif. Namun, terpaksa kembali setelah kesihatan menjadi semakin teruk apabila kanser berada pada tahap akhir.

Menurut Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Wan Azman Wan Sulaiman, kaum Hawa tidak harus takut kehilangan payudara kerana teknologi pembedahan terkini boleh membantu mereka membina semula payudara.

Beliau berkata, terdapat pelbagai teknik digunakan khususnya yang ditawarkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk membina semula payudara setelah wanita menjalani pembedahan membuang payudara atau mastektomi.

Antaranya, melalui teknik memasukkan (implan) silikon; penggunaan lemak dan kulit belakang bersama dengan otot yang membawa bekalan darah atau latissimus dorsi myocutaneous flap; gabungan teknik implan silikon dan latissimus dorsi flap; dan pengambilan kulit dan lemak bawah perut bersama dengan otot yang membawa bekalan darah atau transverse rectus abdominis myocutaneous flap (TRAM).

Teknik terkini adalah pengambilan hanya lemak dan kulit bahagian bawah perut bersama salur darah yang membekalkan darah pada bahagian tersebut atau deep inferior epigastric perforator flap (DIEP).

Beliau memberitahu, pesakit kanser payudara tahap satu dan dua biasanya boleh menjalani pembedahan rekonstruktif atau pembentukan semula payudara serentak dengan prosedur mastektomi.

“Kesemua teknik rekonstruktif boleh dijalankan serentak dengan pembedahan membuang payudara ataupun ditangguhkan sehingga dua tahun selepas selesai proses radioterapi dan kemoterapi, bergantung kepada permintaan dan keadaan pesakit sendiri.

“Namun, wanita yang memilih untuk menjalani prosedur membina payudara baru serentak dengan mastektomi mempunyai kelebihan. Mereka tidak perlu melalui fasa ‘hilang’ payudara kerana sebaik selesai pembedahan, mereka sudah ada payudara baharu.

“Payudara baharu sudah tentu tidak seperti payudara asal dan berasa ‘pejal’, tetapi kita berusaha pastikan saiz yang tidak jauh beza. Justeru pesakit tidak berasa kekurangan diri berbanding sebelumnya,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.

Dr. Wan Azman memberitahu, daripada lima teknik pembedahan rekonstruktif yang dijalankan di HUSM, prosedur DIEP memakan masa paling lama iaitu tujuh jam, namun menjadi pilihan istimewa kerana tidak mengorbankan sebarang otot yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu.

Jelasnya, prosedur ini hanya melibatkan pengambilan tisu lemak dan kulit berserta salur darah. Ini secara tidak langsung mampu merampingkan pesakit setelah lemak, salur darah dan kulit bahagian perut pesakit digunakan untuk membina payudara baharu.

Beliau berkata, kebiasaannya pasukan pembedahan dapat mengambil purata 500 gram lemak perut untuk dipindahkan ke bahagian dada pesakit dan cukup bagi menghasilkan satu payudara.

“Kebiasaannya kita sengaja ambil dan bentukkan payudara yang kelihatan lebih besar daripada asal kerana tisu bahagian ini biasanya membengkak pada peringkat awal sebelum surut.

“Semasa pembedahan membuang payudara asal dijalankan, pasukan rekonstruktif pula akan menjalankan prosedur di bahagian bawah perut pesakit. Kita cari salur darah yang membekalkan aliran darah kepada lemak dan kulit sampai ke pangkal salur darah berdekatan paha.

“Kita bawa keluar lemak, kulit dan salur darah dan pindahkan ke bahagian dada, kemudian salur darah asal dari perut kita sambungkan dengan urat salur darah payudara atau internal mammary vessel,” katanya.

Dr. Wan Azman berkata, bagi pesakit yang kehilangan kedua-dua belah payudara, lemak perut yang diambil boleh dibentuk menjadi dua payudara yang bersaiz kecil, namun mungkin tidak memberi ‘kegembiraan’ kepada sesetengah pesakit yang mahukan payudara besar.

Justeru, katanya, pesakit boleh memilih untuk menggunakan teknik lain untuk membina semula sebelah lagi payudara seperti implan silikon.

“Silikon ada pelbagai jenis, ada yang mahal dan murah. Silikon yang HUSM gunakan mempunyai kelulusan agensi Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika dan setakat ini pesakit yang kami masukkan silikon dari 15 tahun dahulu tidak menunjukkan tanda-tanda bermasalah,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang menjalankan kajian sama ada wujud perbezaan dan kesan jangka panjang dari sudut fungsi keseimbangan badan serta pergerakan fizikal antara pesakit kanser yang membina semula payudara dengan pesakit yang tidak menjalani prosedur itu.

Menurut Dr. Wan Azmi, pihaknya menjangkakan terdapat kesan yang melibatkan tulang belakang pesakit berdasarkan input yang diperoleh setakat ini dan menyasarkan hasil penyelidikan penuh akan dikeluarkan tahun hadapan.

“Kita mahu memberi lebih maklumat kepada wanita tentang manfaat pembedahan rekonstruktif, sekali gus menunjukkan pentingnya mengesan kanser pada peringkat awal.

“Sebab itu wanita tidak seharusnya takut menjalani ujian kanser payudara kerana ini untuk kebaikan mereka.

“Kalau kanser sudah masuk tahap empat biasanya kita tidak dapat buat pembedahan rekonstruktif payudara lagi tetapi hanya pembaikian dinding dada (chest wall reconstruction). Apabila sudah sampai tahap empat, kulit yang dibuang lebih banyak dan tidak dapat menutup luka,” katanya.

Beliau memberitahu, pihak HUSM telah menjalankan 300 pembedahan membina semula payudara sejak 1996.

1 Memasukkan (implan) silikon.

2 Penggunaan lemak dan kulit belakang bersama dengan otot yang membawa bekalan darah atau latissimus dorsi myocutaneous flap.

3 Gabungan teknik implan silikon dan latissimus dorsi flap.

4 Pengambilan kulit dan lemak bawah perut bersama dengan otot yang membawa bekalan darah atau transverse rectus abdominis myocutaneous flap (TRAM).

5 Pengambilan hanya lemak dan kulit bahagian bawah perut bersama salur darah yang membekalkan darah pada bahagian tersebut atau deep inferior epigastric perforator flap (DIEP).