Anding AF2 Tak Boleh Berikan Komitmen Untuk Bercinta

Penyanyi dan pelakon Anding Indrawani hampir dua tahun jarang muncul di kaca TV.
 
Agak jarang mendengar cerita mengenai bekas peserta Akademi Fantasia (AF) kedua ini sejak melibatkan diri dalam pementasan teater hampir dua tahun lalu.
 
Pun begitu, itu bukan bermakna penyanyi berusia 33 tahun ini telah melupakan bidang nyanyian sebaliknya, empunya nama Anding atau nama penuhnya Anding Indrawani Zaini ini aktif sebagai pelakon pentas teater.
 
"Saya sudah melibatkan diri dalam cabang pementasan teater muzikal 'Mud: Our Story of Kuala Lumpur' (MUDKL) di bawah kelolaan syarikat produksi teater terkenal tanah air, Enfiniti Vision Media. Sebab itu saya sudah jarang muncul di televisyen, malah, kerjaya sekarang merupakan kerja tetap," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Anding juga ada menyatakan bahawa dia tidak terkilan jika kurang terlibat dengan lakonan mahupun nyanyian.
 
"Sebenarnya saya tidak terkilan kalau tak berlakon ataupun menyanyi di luar sana. Sebab dalam pementasan teater MUDKL pun saya turut berlakon, menyanyi dan menari. Jadi saya tak rasa minat saya terhenti sebegitu saja. Satu lagi, kita kena keluar dari zon selesa," jelasnya.
 
Berkongsi mengenai perkara itu, Anding kini lebih matang memikirkan masa depannya.
 
"Saya tidak pernah terfikir tentang glamor. Fokus saya sekarang hanya untuk mengumpul duit dan membina keluarga," katanya.
 
Sehubungan itu, ditanya sudah mempunyai calon isteri?
 
Jelasnya, dia masih solo dan sibuk dengan pementasan MUDKL.
 
"Saya masih solo dan saya rasa saya tidak boleh berikan komitmen untuk bercinta. Apatah lagi untuk berjumpa dengan keluarga di kampung pun jarang inikan pula untuk bercinta," tuturnya sambil ketawa.

Baca di website

Related Posts :

0 Response to "Anding AF2 Tak Boleh Berikan Komitmen Untuk Bercinta"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect