Pemilihan novel Pantai Kasih ikut prosedur Kementerian Pendidikan

Pemilihan novel Pantai Kasih bagi komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan empat yang menjadi polemik hangat di media sosial dilakukan mengikut kriteria serta prosedur ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Salah seorang panel penilai buku teks yang enggan mendedahkan namanya menjelaskan, sebelum pemilihan berkenaan dibuat, terdapat kira-kira lebih daripada 20 sesi saringan dilakukan terhadap novel-novel yang dihantar oleh penerbit melalui tender yang dibuka oleh pihak kementerian.

Pemilihan novel Pantai Kasih ikut prosedur Kementerian Pendidikan

Pemilihan novel Pantai Kasih ikut prosedur Kementerian Pendidikan

Menerusi saringan awal pemilihan novel Komsas itu, sumber berkenaan berkata, sesi tersebut melibatkan pelajar sekolah serta guru-guru sastera yang turut sama bagi meneliti isi kandungan setiap bahan bacaan yang dihantar oleh penerbit.

“Pemilihan novel ini tidak dilakukan sesuka hati memandangkan pelajar dan guru juga turut sama terlibat dan mereka telah ditempatkan di satu bilik khas dalam sesi sebelum ini untuk meneliti setiap bahan bacaan yang dihantar oleh penerbit.

“Panel penilai juga tidak boleh memilih buku lain selain daripada karya yang dihantar oleh penerbit melalui tender terbuka berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Selain daripada itu, sumber berkenaan memaklumkan bahawa panel penilai juga telah beberapa kali melihat isi kandungan novel Pantai Kasih berkenaan, malah penelitian itu juga dilakukan sejak kira-kira setahun lalu.

Katanya, setiap panel mengambil kira pelbagai kriteria dalam pemilihan novel berkenaan dan ianya meliputi penggunaan bahasa, tema, kosa kata, nilai-nilai murni dan sebagainya.

“Selain daripada pelajar, guru serta panel penilai, novel ini juga dipilih dan dinilai oleh pakar-pakar sastera serta pensyarah dari universiti tempatan,” katanya.

Ketika mengulas mengenai kontroversi isi kandungan novel berkenaan yang dikatakan mengandungi unsur lucah dan tidak bersesuaian dengan pelajar sekolah, sumber itu menjelaskan bahawa Pantai Kasih menceritakan mengenai perjalanan hidup seorang wanita yang menginginkan kehidupan stabil setelah dirinya pernah dikhianati.

Ujarnya, dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan novel berkenaan dengan unsur lucah adalah tidak tepat memandangkan ia mengandungi kisah tauladan dan unsur nasihat kepada pelajar.

“Perkara yang didakwa wujud unsur lucah dalam novel itu hanya melibatkan separuh halaman, malah ianya juga menggunakan terma sains yang juga turut digunakan dalam pembelajaran mereka.

“ Jadi apa yang dikatakan sebagai istilah lucah itu amatlah tidak tepat, malah novel ini ada banyak unsur nasihat dan pengajaran,” katanya.

Menurutnya, dakwaan segelintir pihak yang mengatakan terdapat unsur rasuah dalam pemilihan novel itu juga adalah tidak benar memandangkan seramai kira-kira 20 hingga 30 orang panel penilai terlibat dalam setiap sesi saringan pemilihan yang dilakukan itu.

Sumber : Sinar

Related Posts :

0 Response to "Pemilihan novel Pantai Kasih ikut prosedur Kementerian Pendidikan"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect