Majlis Peguam tidak profesional ― Azalina Othman Said

12 JANUARI ― Tindakan Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 boleh disifatkan sebagai tidak professional. 

Malah, ketidakhadiran Majlis Peguam Malaysia ke acara tahunan Badan Kehakiman ini juga menunjukkan mereka tidak menghormati salah satu cabang Persekutuan negara.

Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman ini telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi dan menjadi satu tradisi kepada semua pengamal undang-undang di Negara ini untuk sama-sama menyertai upacara tersebut.

Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini. 

Malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini.

Majlis Peguam Malaysia yang sepatutnya mewakili lebih kurang 17,000 pengamal undang-undang di Semenanjung ini perlu berpegang kepada profesionalisme yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi. 

Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidakhadiran mereka telah memberi imej yang buruk kepada organisasi tersebut.

Dalam masa yang sama, saya menyambut baik ucapan Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif yang membawa tema “Enhancing Acces to Justice Through Judicial Transformation”. 

Kerajaan hari ini begitu terbuka dalam melaksanakan pelbagai transformasi perundangan disamping memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada keadilan. 

Terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh Badan Kehakiman terhadap usaha-usaha yang dibawa oleh kerajaan terutamanya dalam memastikan kes yang didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diselesaikan dengan cepat selain meneruskan sistem E-Kehakiman untuk memudahkan proses dalam perkhidmatan kehakiman. 

Usaha-usaha ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa memberi keutamaan tinggi dalam transformasi perundangan negara.

* Datuk Seri Azalina Othman Said adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.



Sumber Majlis Peguam tidak profesional ― Azalina Othman Said

0 Response to "Majlis Peguam tidak profesional ― Azalina Othman Said"

Post a Comment