Guru Bangsa Tjokroaminoto: Filem Sejarah Dan Politik Yang Wajib Ditonton

Antara yang paling kita ingati di dalam filem ini adalah apabila Tjokroaminoto yang bingung bertanyakan kepada dirinya sendiri:

“Hijrah. Ke mana kau akan membawaku?”

Kemudian kita dibawa menyelusuri perjalanan berliku ini. Tjokroaminoto pernah digelar Raja tanpa mahkota di tanah Jawa. Tapi hidupnya jauh daripada kehidupan dunia feudal. Malah, dia percaya kebangkitan harus bermula daripada kelas marhaen.

Nama Tjokroaminoto muncul apabila beliau memimpin pentadbiran Sarekat Islam. Secara dasarnya Sarekat Islam ditubuhkan untuk melindungi pedagang peribumi yang ditindas ningrat. Perlahan-lahan, Sarekat Islam berkembang menjadi akar perjuangan kemerdekaan Indonesia di kemudian hari.

Filem arahan Garin Nugroho dengan tajuk Guru Bangsa: Tjokroaminoto ini langsung tidak bersifat mainstream. Kita tidak akan melihat keindahan tanah Jawa daripada mata drone atau kerja kamera yang memperlihatkan landskap. Pacingnya perlahan untuk dihargai gen Y. Hampir setiap shot, kamera kekal medium shot atau close up. Sudah tentu kerana Garin mahu kita mendekati manusia-manusianya. Visi, semangat di mata mereka, malah emosi.

Tjokroaminoto sudah seharusnya dibawa oleh pemeran dengan gerak dan suara berkarisma seperti Reza Rahadian kerana seperti kata gemulah Tjokroaminoto sendiri;

“Jika kalian ingin menjadi pemimpin besar, menulislah seperti wartawan dan bicaralah seperti orator.”

http://ift.tt/2DmPY5e

Kita melihat pertentangan besar bukan sahaja datang daripada kerajaan Hindia Belanda, malah daripada kalangan pemimpin Sarekat Islam sendiri. Tjokroaminoto berkeras menyatakan di kalangan sahabatnya, rakyat cuma boleh dibangkitkan dengan program pendidikan jangka panjang. Sedangkan yang lain mempersoalkan soal tanah yang menjadi sumber mengisi perut untuk hidup.

Filem ini dibikin berkonsep teaterikal dengan sengaja. Ada beberapa bahagian dengan sulaman lagu-lagu autentik Jawa termasuk ‘Terang Bulan’ (lagu asal Negaraku) membuatkan kita berasa riang seperti di dalam pentas muzikal. Dan kemudian tidak semena-mena dibawa suasana memilukan dengan runut yang begitu lirih mengoyak jiwa.

Dalam turun-naik perjuangan Tjokroaminoto, kita melihat dia dikelilingi sosok-sosok besar yang kemudiannya mewarnakan sejarah penting Indonesia. Pembantunya Agus Salim yang menerima pendidikan di Eropah kemudian menjadi Menteri Luar Negeri Indonesia selepas merdeka.

Aneh sekali, anak-anak murid utamanya membawa haluan berbeza. Semaoen yang radikal sebagai pengasas Parti Komunis Indonesia, Kusno (nama panggilan Sukarno) yang mendirikan Parti Nasional Indonesia seterusnya memproklamasikan kemerdekaan Indonesia dan Muso yang tewas pada peristiwa Madiun Affairs pada 1948.

Setelah berkali-kali menanyakan perjalanan hijrahnya sendiri, Tjokroaminoto menjawab kembali,

“Hanya ada satu cara untuk berhijrah. Setinggi-tinggi ilmu, sepintar-pintar siasah dan semurni-murni tauhid.”

Trailer: https://www.youtube.com/watch?v=ubpILMZ9yLs

Raiha Bahaudin


Sumber Guru Bangsa Tjokroaminoto: Filem Sejarah Dan Politik Yang Wajib Ditonton

0 Response to "Guru Bangsa Tjokroaminoto: Filem Sejarah Dan Politik Yang Wajib Ditonton"

Post a Comment