Tanam sayur dalam kawasan masjid

SERI ISKANDAR: Memanfaatkan ruang dalam kawasan masjid untuk masyarakat menjadi ilham kepada kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar di sini untuk menanam pelbagai jenis sayuru.

Projek dinamakan sebagai 'recycle edible garden' di Masjid As Siddiq di Taman Seri Iskandar Perdana, di sini, dibangunkan dengan kira-kira 50 jenis tanaman seperti serai, kunyit, pandan, limau kasturi, halia, cili padi, bunga telang, kubis, kacang botol dan kacang panjang yang hasilnya boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina Landskap UiTM Seri Iskandar merangkap ketua projek, Nur Hanim Ilias, berkata taman itu ialah projek universiti bersama-sama kariah masjid dan turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Katanya, ia dibangunkan melalui dana Pusat Transformasi Komuniti Universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi di atas tanah berkeluasan 200 meter persegi dalam kawasan masjid.

"Projek ini bermula pada 1 November tahun lalu dan bakal berakhir 31 Oktober ini dan selepas itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan masjid, namun kami akan membantu mengikut keperluan.

PENSYARAH Kanan Jabatan Seni Bina Landskap merangkap ketua projek, Lar Nur Hanim Ilias (tiga kiri) bersama ahli kumpulan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Seri Iskandar bergambar di hadapan taman 'recycle edible garden' di Masjid As Siddiq diTaman Seri Iskandar Perdana, Seri Iskandar. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

"Dalam tempoh ini, kami memberi bimbingan, nasihat serta tunjuk ajar pengurusan taman," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nur Hanim berkata, mereka menggunakan kaedah tuaian air hujan sebagai sumber air untuk siraman tanaman dan menggunakan barang terpakai seperti botol sebagai bekas atau pasu tanaman sebagai usaha menggalakkan kempen kitar semula.

Katanya, pihaknya memilih masjid kerana ia ialah tumpuan utama masyarakat di kawasan itu selain berharap usaha itu dapat memberi idea kepada penduduk setempat untuk melakukan perkara sama di pekarangan rumah dengan menggunakan barang terpakai.

Sehingga kini, katanya, tanaman di situ sudah beberapa kali mengeluarkan hasil dan sesiapa saja di kawasan berkenaan boleh mengambilnya tanpa dikenakan bayaran.

PENSYARAH Kanan Jabatan Seni Bina Landskap merangkap ketua projek, Lar Nur Hanim Ilias menunjukkan barangan yang dikitar semula dijadikan bekas untuk menanam pudina di hadapan taman 'recycle edible garden' di Masjid As Siddiq diTaman Seri Iskandar Perdana, Seri Iskandar. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

 Sementara itu, Pengerusi Masjid As Siddiq, Abdul Rahim Basri menyokong usaha yang dilakukan pihak universiti itu yang dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat memanfaatkan hasil tanaman.

"Ini juga membuktikan peranan masjid lebih luas dengan tidak hanya dijadikan tempat beribadat dan kuliah sahaja, namun kawasannya boleh dimanfaatkan dengan kegiatan berfaedah.

"Lebih menarik ia sekaligus dapat mengindahkan dan menghijaukan persekitaran masjid," katanya.



Sumber Tanam sayur dalam kawasan masjid

0 Response to "Tanam sayur dalam kawasan masjid"

Post a Comment