Saya sedia kembali demi KAFA: Azman Ibrahim

KOTA BHARU: EXCO Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim sah akan kembali bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan Kongres KAFA di sini, esok, walaupun sebelum ini bertekad untuk menarik diri.

Azman disenaraikan bersama lima calon lain iaitu Datuk Mohd Rosdi Abd Aziz, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, Amir Ramadzan Ibrahim, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir dan Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Ketua Operasi Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) dan bekas Pengurus skuad The Red Warriors (TRW) ini berkata, dia menukar fikiran (untuk bertanding) berikutan permintaan ramai yang memerlukan khidmatnya.

"Peminat mahukan pengurusan baharu mengambil alih KAFA. Saya yakin, dengan pengalaman luas yang saya ada mampu menjulang kembali TRW pada musim depan," katanya yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden KAFA.

"Malah, saya optimis semua calon yang bakal terpilih dapat berganding bahu demi kebaikan bola sepak negeri ini, terutama bagi mencari dana kewangan untuk menyelesaikan hutang atau gaji tertunggak.

"Jika terpilih, saya sedia membantu pucuk kepemimpinan tertinggi untuk membawa misi membaik pulih KAFA dan menjaga kebajikan pemain serta semua pihak yang terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai calon presiden dan timbalannya, Azman mengakui kesemua calon mempunyai kewibawaan tersendiri di dalam misi membantu menyelesaikan kemelut dihadapi KAFA.

"Pengurusan KAFA bukan setakat menumpukan kepada pasukan negeri saja, bahkan semua aspek pengurusan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) merangkumi aspek pembangunan pemain, liga tempatan, futsal, pengadil dan sebagainya," katanya.



Sumber Saya sedia kembali demi KAFA: Azman Ibrahim

0 Response to "Saya sedia kembali demi KAFA: Azman Ibrahim"

Post a Comment