Penubuhan Malaysia bawa manfaat kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Tiada sesiapa boleh menafikan kemerdekaan dan penubuhan Malaysia membawa banyak manfaat yang besar kepada rakyat di Sabah dalam pelbagai bidang, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, ia dibuktikan oleh sejarah dan fakta berkaitan pencapaian Sabah selepas penubuhan Malaysia 54 tahun lalu, termasuk dari segi keselamatan, kestabilan politik dan pentadbiran, pembangunan pesat dan transformasi ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran sosial.

"Kejayaan juga dicapai dalam pelbagai sektor, misalnya pendidikan, pelancongan, pembuatan, pertanian, modal insan, industri minyak dan gas, pembangunan infrastruktur asas dan tidak lupa dalam bidang sukan.

"Terbaharu, anak Sabah membuktikan kebolehan dan potensi dalam bidang sukan apabila membantu negara mencapai kejuaraan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan menyumbang lapan pingat emas, dua perak dan enam gangsa kepada Malaysia," katanya berucap pada acara kemuncak sambutan Hari Malaysia 2017, malam ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Musa berkata, sempena Hari Malaysia ini, kerajaan Sabah beriltizam untuk terus memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat dan negeri dengan cara dan pendekatan tersendiri.

"Telah terbukti bahawa apa juga perkara yang kita bangkitkan berkaitan hak dan kepentingan menerusi perbincangan dan rundingan banyak membuahkan hasil dan kejayaan untuk manfaat rakyat serta negeri," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah bertekad untuk terus berganding bahu dengan kerajaan Persekutuan bagi mencapai kejayaan, mendepani cabaran dan membina masa depan lebih gemilang demi negara Malaysia yang bersatu, merdeka dan berdaulat.

Sementara itu, Musa berkata, kejayaan pertemuan dan perbincangan Perdana Menteri dengan Presiden Donald Trump ketika lawatan ke Amerika Syarikat awal minggu ini, bukti kepentingan Malaysia sebagai rakan strategik yang dipandang tinggi oleh pentadbiran negara itu.

"Kita bangga kerana lawatan Perdana Menteri telah berjaya memperkukuh hubungan baik Malaysia-Amerika Syarikat, termasuk dalam bidang perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.



Sumber Penubuhan Malaysia bawa manfaat kepada rakyat Sabah

0 Response to "Penubuhan Malaysia bawa manfaat kepada rakyat Sabah"

Post a Comment