Morten Frost letak jawatan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan menerima peletakan jawatan Pengarah Teknikalnya, Morten Frost Hansen, berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, pakar badminton kelahiran Denmark itu telah menghantar surat peletakan jawatan bernotis enam bulan pada 11 Sept lepas dengan menyatakan alasan masalah peribadi. 

Buat waktu ini, kata Mohamad Norza, tidak akan ada pengganti Frost dalam masa terdekat. 

"Kita tidak memikirkan pengganti lagi kerana saya merasakan bahawa sistem ketua-ketua jurulatih sedia ada yang kita baru mulakan harus diberi peluang untuk kita lihat keberkesanannya.

"Dan saya memberi tempoh enam bulan untuk kita melihat perkara itu untuk diperdahului," ujarnya kepada Astro AWANI dengan nada optimis.

Tambahnya, kerja-kerja pentadbiran yang dikendalikan oleh Frost sebelum ini kini diambil alih oleh Pengurus Besar BAM, Michelle Chai. 

Ini bukan kali pertama Frost meletak jawatan dalam pengurusan BAM kerana telah pun berbuat demikian pada tahun 1999 ketika menyandang jawatan Pengarah Kejurulatihanan pasukan Badminton negara.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohamad Norza berkata, BAM menerima peletakan jawatan Frost selepas mendapat satu kata sepakat daripada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CT).

"BAM akan berjumpa dan berbincang dengannya esok untuk memastikan ia berakhir dalam keadaan yang baik tanpa sebarang salah faham.

"Kita harap beliau terus maju dengan apa yang akan dilakukan selepas ini dan kita berterima kasih atas hasil kerjanya sepanjang bersama BAM.

"Beliau letak jawatan atas pilihannya sendiri... tiada tekanan daripada pihak BAM jadi kita pun kena teruskan perjuangan kita.

"Buat masa sekarang BAM tidak mempunyai perancangan untuk menggantikan Frost,” beliau dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat CT, hari ini.

Ekoran peletakan jawatan Frost, 59, yang dikenali sebagai 'Mr Badminton' itu, tugasnya akan diteruskan oleh ketua-ketua jurulatih iaitu Datuk Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Ty (beregu wanita) and Chin Eei Hui (beregu campuran) dan dibantu oleh CT.

Frost memulakan tugasnya pada 23 Feb 2015, mengikat kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga 31 Dis 2020 dan juga merupakan bekas Pengarah Kejurulatihan BAM dari tahun 1997-2000.

Mohamad Norza menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan Frost itu adalah ekoran prestasi tidak memberangsangkan skuad negara pada Piala Sudirman yang berakhir di pusingan suku akhir apabila tewas kepada Jepun 1-3 pada Jun lepas serta pencapaian Sukan SEA ke-29 yang dikatakan tidak mencapai sasaran walaupun meraih dua pingat emas seperti diumumkan.

Ditanya sama ada BAM akan terus menjadikan Pelan Pembangunan Sukan Jangka Panjang oleh Frost sebagai panduan, Mohamad Norza berkata pihaknya akan meneliti dan berbincang sama ada ia akan terus digunakan ataupun tidak dan perlu bersifat lebih realistik untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

“Kita telah menilai tahap prestasi kita di mana melalui pencapaian di Kejohanan Dunia dan juga Sukan SEA. Kami sedar skuad negara ada kekurangannya jadi kami perlukan kesungguhan dan kebijaksaan jurulatih-jurulatih untuk perbaikinya,” katanya. 

Ini bukan kali pertama Frost meletak jawatan dalam sejarah pengurusan BAM kerana beliau pernah meletak jawatan 15 bulan lebih awal daripada kontrak sebenar, pada 1999, ketika menyandang jawatan Pengarah Kejurulatihanan BAM.



Sumber Morten Frost letak jawatan

0 Response to "Morten Frost letak jawatan"

Post a Comment