Majlis Peguam syor RCI siasat tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Majlis Peguam berkata siasatan juga perlu mempertimbangkan keperluan untuk mengkaji dan menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada.

George-Varughese_Tahfiz_bakar_600

PETALING JAYA: Majlis Peguam menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi mencari punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kelmarin, mengakibatkan 23 orang terkorban, yang badan itu menyifatkan sebagai “tragedi kebakaran paling buruk untuk tempoh hampir 3 dekad ini.”

Presiden Majlis Peguam George Varughese berkata, mengambil kira jumlah nyawa yang terkorban, RCI perlu mengadakan siasatan menyeluruh dan terbuka seperti siasatan awam tragedi platform runtuh Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang pada 1988 yang telah meragut 32 nyawa dan kejadian kebakaran melibatkan kilang mercun Bright Sparklers Sdn Bhd pada 1991 yang telah mengorbankan 26 orang.

Katanya, Majlis Peguam menyeru agar kerajaan segera menubuhkan RCI supaya dapatan dan syor-syor akan dapat membantu kerajaan dan pihak berkuasa mengenal pasti isu-isu pokok yang tidak terhad kepada punca nahas kebakaran semata-mata, tetapi merangkumi aspek-aspek pemantauan, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan pendaftaran sekolah aliran agama persendirian dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama.

“Siasatan ini juga perlu mempertimbangkan keperluan untuk mengkaji dan menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan isu-isu di atas,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kejadian 5.15 pagi kelmarin yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru. Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan di beberapa lokasi tanah perkuburan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.

Kata beliau, siasatan juga perlu merangkumi pusat-pusat tahfiz dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama di seluruh negara yang sedang beroperasi berkenaan pematuhan undang-undang dan garis piawaian keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan.

Majlis Peguam juga mencadangkan agar pihak berkuasa menyemak dengan segera pusat-pusat tahfiz dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama di seluruh negara yang telah dibuka sama ada berlesen dan telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu menurut beliau, Majlis Peguam berharap kerajaan akan mengetatkan dan mengkaji semula kriteria-kriteria permohonan untuk membuka sekolah aliran agama persendirian dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama.

Katanya, pihaknya merakamkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa kebakaran dan berharap agar ahli-ahli keluarga yang terlibat kekal tabah menghadapi dugaan ini.

“Majlis Peguam memandang serius kejadian ini yang dianggap sebagai tragedi kebakaran paling buruk untuk tempoh hampir 3 dekad ini. Sesungguhnya, kejadian ini hanya mengingatkan semula rakyat Malaysia kepada tragedi kebakaran yang telah meragut 27 nyawa pelajar Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Guar Chempedak, Kedah pada tahun 1989.”

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi melihat semula aspek keselamatan maahad tahfiz di seluruh negara.

Najib berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Majlis Peguam syor RCI siasat tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

0 Response to "Majlis Peguam syor RCI siasat tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah"

Post a Comment