'Kafirkah saya tidak sokong Pas?'

SAYA berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan parti Pas.

Saya hormati Tuan Ibrahim sebagai satu-satunya pemimpin Pas yang rasional, tetapi jawapannya tidak sedikit pun menyentuh perkara utama yang dibangkitkan dalam rencana saya.

Sesungguhnya saya tidak marah jika saya dipanggil penyangak, penyamun, diktator dan sebagainya. Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka membuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.

Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila Pas mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong Pas. Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam dan mereka yang dikafir marah serta kecewa didakwa mereka tidak Islam.

Tuan Ibrahim tidak menyentuh perkara ini sama sekali. Sebaliknya Tuan Ibrahim hanya melempar berbagai kata kesat kepada saya. Ini bermakna Tuan Ibrahim bersetuju dengan dakwaan Pas bahawa saya dan lain-lain, orang Melayu yang tidak menyertai Pas adalah kafir.

Yang tidak menyertai Pas ini ramai. Raja-raja kita pun tidak menyertai Pas. Sudah tentu orang Islam yang seramai 1.7 bilion di seluruh dunia, mengikut dakwaan Pas adalah kafir.

Pengkafiran inilah yang memecah belah orang Melayu Islam yang semua percaya dan mengikut amalan agama Islam yang sama dan mengucap dua kalimah syahadah dan berada dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam kepada Imam Shafei.

Yang saya katakan ialah sebelum adanya Pas tidak ada perpecahan disebabkan kelainan agama di kalangan orang Melayu Islam. Hanya apabila Pas ditubuh dan mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti politik Pas, barulah orang Melayu Islam berpecah sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, berkuburan berasingan dan bermusuh ketat antara orang Pas dengan orang bukan Pas.

Kenyataan saya ini tidak boleh dipertikai oleh sesiapa. Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku, dan ia berlaku kerana Pas menidakkan Islamnya orang Umno dan juga orang lain yang tidak menyertai Pas.

Saya berada di zaman sebelum Pas ditubuh. Ada kaum muda dan kaum tua. Tetapi tidak ada perpecahan antara orang Melayu kerana agama. Sudah tentu tidak ada sembahyang dua imam, perkuburan berasingan dan lain-lain.

Soal mengkafir ini hanya berlaku apabila Pas ditubuh dan Pas kafirkan orang Umno terutamanya kerana Umno bekerjasama politik dengan orang bukan Islam.

Kemudian Pas bekerjasama dengan DAP. Tetapi Pas dakwa ini tidak menjadikan Pas kafir. Kerjasama Pas diberi nama 'tahaluf siyasi' perkataan Arab yang bermakna “kerjasama politik”. Hanya dengan mengguna Bahasa Arab tidak menjadikan perbuatan Pas itu Islam.

Oleh kerana Tuan Ibrahim tidak sentuh soal mengkafir orang yang bukan ahli Pas, di bawah ini saya kemukakan soalan-soalan berkenaan perkara ini supaya Yang Berbahagia Tuan Ibrahim dapat faham kandungan utama rencana saya.

i)    Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai Pas tidak Islam.

ii)    Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya Pas.

iii)    Apakah ibubapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya Pas.

iv)    Apakah Pas tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP.

v)    Mengikut Pas, Umno kafir. Jika Pas bekerjasama dengan Umno apakah Pas menjadi kafir.

vi)    Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?

vii)    Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir.

viii)    Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?

Soal saya dalam rencana ini jelas. Memaki saya, iaitu saya ini perompak dan penyamun, mencerita berkenaan kezaliman saya dan bermacam lagi tidak sedikitpun menimbul kemarahan saya. Memanglah musuh saya tidak akan puji saya. Membuat tuduhan yang tidak berasas memang cara musuh untuk menang dalam pilihan raya.

Tetapi mengkafirkan saya tidak boleh saya terima. Ia dilarang oleh Islam, dilarang dalam Al-Quran. Ia berdosa dan orang yang mengkafirkan orang Islam, akan dapati dakwaan mereka akan kembali kepada mereka. Ini yang dijanji dalam al-Quran.

Tidak perlu dakwa saya tidak berbahasa Arab. Tidak perlu kata saya bukan orang agama, tidak berijazah dalam agama Islam.

Tetapi soalnya apakah orang yang terpelajar dalam agama Islam seperti Tuan Ibrahim, orang yang mendakwa diri mereka ulama, apakah mereka terima dakwaan Pas bahawa orang yang tidak menyertai Pas menjadi kafir.

Jika mereka terima maka bukan sahaja orang Umno, dan sekarang ini orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang kafir, mufti-mufti Kerajaan dan Raja-raja Melayu turut jadi kafir. Jika tidak Pas, Tuan Ibrahim sendiri boleh buat kenyataan bahawa dalam dunia ini hanya mereka yang menyertai Pas sahaja yang beragama Islam.

Apabila seseorang memasuki agama Islam, maka ia mesti sebut keahlian dalam Pas sebelum ia diterima memeluk agama Islam. Tak usah lari dari soal pengkafiran ini. Jelaskan dengan tegas benar atau tidak orang yang tidak menyertai Pas kafir.



Sumber 'Kafirkah saya tidak sokong Pas?'

0 Response to "'Kafirkah saya tidak sokong Pas?'"

Post a Comment