Etnik Kachin jadi mangsa kekejaman tentera Myanmar

KUALA LUMPUR: Tribunal antarabangsa berhubung jenayah kemanusiaan terhadap etnik minoriti di Myanmar diberitahu masyarakat Kachin turut menjadi mangsa kekejaman tentera negara itu termasuk dirogol, dibunuh dan diseksa.

Malah, saksi perbicaraan yang mewakili masyarakat Kachin, Lazum Jimmy Phang berkata, etnik itu juga sering diganggu tentera yang membuat kacau termasuk membakar kediaman dan sekolah di kawasan pedalaman.

Katanya, beratus kes keganasan dilaporkan tetapi pihak berkuasa seolah-olah menutup mata' dan memberi layanan kelas kedua kepada etnik berkenaan.

"Ramai juga dituduh menyertai askar militan Kachin tanpa bukti yang kukuh," katanya ketika menjadi saksi perbicaraan kes jenayah kemanusiaan terhadap etnik minoriti di Myanmar anjuran Permanent People's Tribunal (PPT) di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Phang yang juga penasihat politik Kachin National Organization (KNO) berkata, bukan saja lelaki dewasa yang menjadi mangsa, wanita etnik Kachin juga dirogol tentera Mynmar.

Katanya, tidak terkecuali kanak-kanak yang mana sekolah dan taman asuhan mereka diserang hendap dan dikatakan menjadi tempat persembunyian tentera militan Kachin.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Kami menyeru pertubuhan antarabangsa termasuk pertubuhan hak asasi manusia bertindak menghalang jenayah yang dilakukan berterusan tentera Myanmar ini sejak kebelakangan ini," katanya.

Satu laporan lengkap mengenai kekejaman itu turut diserahkan kepada tribunal itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang tidak boleh dinamakan atas faktor keselamatan mendedahkan mana-mana pegawai etnik Kachin yang berkhidmat dengan Kerajaan Myanmar juga menerima layanan kelas kedua dan dinafikan haknya untuk mendapat kenaikan pangkat atau kemudahan perkhidmatan awam lain.

Katanya, beliau melepaskan jawatan sebagai pengamal undang-undang kerana tidak tahan dengan diskriminasi termasuk dinafikan untuk naik pangkat.

"Saya kini berkhidmat sebagai penasihat guaman KNO membela nasib etnik Kachin yang ditahan tentera Myanmar serta dituduh menjadi tali barut tentera militan," katanya.

Tribunal itu kemudiannya meneruskan perbicaraan secara tertutup ke atas saksi yang menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar.

Mangsa seorang wanita yang dirahsiakan nama dan tempat tinggalnya pada awalnya menceritakan adik lelaki dituduh menjadi militan dan di kenakan hukuman penjara tanpa perbicaraan.



Sumber Etnik Kachin jadi mangsa kekejaman tentera Myanmar

0 Response to "Etnik Kachin jadi mangsa kekejaman tentera Myanmar"

Post a Comment