Lelaki tetap kahwini kekasih walau wajah bakal isterinya cacat disimbah asid

MANGSA serangan asid, Kavita Baruni, 26, telah mengahwini kekasih hatinya yang sanggup bersamanya sepanjang dia menjalani rawatan meskipun keluarga Kavita sendiri membuangnya.

Lelaki Kahwini Kekasih Meski Wajahnya Cacat

Kavita Baruni, 26, yang berasal dari Lucknow, di Uttar Pradesh, berkahwin dengan Nitesh Verma, 27, selepas dia diserang dengan kejam oleh lelaki yang tidak boleh menerima hakikat bahawa Kavita menolak cintanya.

Hanya Nitesh yang berada di sisi Kavita tatkala keluarganya sendiri enggan menerimanya hanya kerana Kavita berjuang habis-habisan untuk membawa penyerangnya ke muka pengadilan.

Keluarganya mahu Kavita mendiamkan diri bagi menjaga reputasi mereka.

“Hari perkahwinan ini adalah yang terbaik dalam hidup saya. Saya berkahwin dengan lelaki yang sentiasa mencintai saya.

“Penyerang saya percaya hidup saya telah musnah dan tiada siapa akan berkahwin dengan saya tapi suami saya tidak pernah meninggalkan saya dan sentiasa memberikan sokongan,” kata Kavita.

Kavita bertemu Nitesh pada 2011 selepas bertugas di pejabat yang sama dan ketika itu, jirannya, Saif, menjadi cemburu melihat hubungan berkenaan.

Disebabkan marah cintanya ditolak, Kavita telah disimbah asid pada Jun 2012 dan asid berkenaan telah menyebabkan sebelah mukanya menjadi cair.

“Saya sangat terkejut, ia adalah waktu yang paling gelap dalam hidup saya dan saya merasakan saya hilang segala-galanya termasuk harapan untuk hidup.

“Saya mula percaya tiada orang yang mahu menerima saya dan saya mula menjauhi Nitesh namun dia enggan meninggalkan saya dan sering memberikan semangat untuk saya berjuang,’’ katanya.

Keluarganya pula kata Kavitha telah membuangnya jauh dan malu dengan keadaan dirinya itu.

“Mereka kata saya tidak sepatutnya keluar rumah kerana ia akan memalukan mereka dan menjejaskan nama mereka,’’ katanya.

Kes serangan itu kini masih dibicarakan di mahkamah dan Kavita akan berdepan lagi dengan Saif apabila dia ke mahkamah kelak.

 

Sumber: MYNEWSHUB.CC



Sumber Lelaki tetap kahwini kekasih walau wajah bakal isterinya cacat disimbah asid

0 Response to "Lelaki tetap kahwini kekasih walau wajah bakal isterinya cacat disimbah asid"

Post a Comment