“Jadi ‘poyo’ pula anak saya kalau ada instagram” – Faezah Elai

SENARIO selebriti membuka akaun Instagram untuk anak bukan sesuatu yang baharu.

Lihat sahaja anak kepada pasangan Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya iaitu Lara Alana yang mempunyai 2.7 juta pengikut di Instagram manakala Yusof Iskandar anak kepada Hairul Azreen dan Hanis Zalikha dengan 1.3 juta pengikut.

Tidak ketinggalan anak perempuan Rozita Che Wan dan Zain Saidin yang mempunyai hampir 400 ribu pengikut di laman sama.

Anak-anak itu juga aktif dalam bidang seni sehingga ada yang mempunyai rancangan realiti sendiri selain menjadi duta produk.

Bagaimanapun bagi aktres Faezah Elai, dia langsung tidak terfikir untuk membuka Instagram buat dua anak perempuannya iaitu Dealova Heyrinna, 4, dan Aurora Heyrinna (setahun lima bulan).

 

Jelasnya, selain tidak mahu mendedahkan anak-anaknya dengan laman sosial kerana mereka masih kecil, dia juga tidak merasakan mempunyai masa untuk mengemaskini akaun itu nanti.

“Tak kuasa! Instagram saya sendiri pun saya kadang-kadang malas hendak kemaskini apatah lagi untuk anak-anak.

“Kalau saya hendak muat naik gambar mereka pun biarlah di Instagram saya sahaja dan tidak perlulah sampai hendak buka Instagram mereka.

“Nanti kalau mereka ada Instagram sendiri dan dikenali orang, mereka jadi ‘poyo’ pula. Biarlah mereka mereka membesar secara normal,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya lagi, dia juga tidak berminat untuk menerima sebarang tawaran sekiranya ada pihak yang ingin mengambil anaknya berlakon atau pun sebagai duta produk.

“Kalau ada tawaran untuk anak-anak, saya tidak berminat untuk bagi mereka terlibat dalam bidang seni. Biarlah saya sahaja yang terlibat dalam bidang ini,” ujarnya.

 

Sementara itu, Faezah berkata, dia memang mengehadkan aktiviti lakonannya kerana tumpuan kini kepada keluarga dan anak-anaknya.

Bagaimanapun kata pelakon filem Cun itu dia masih berlakon tetapi hanya mengambil projek yang tidak memerlukan dia berada di lokasi terlalu lama.

“Memang sayang dengan karier lakonan tetapi saya sayang lagi dengan anak-anak.

“Saya masih berlakon cuma tidak seaktif dahulu dan sekarang ini banyak berlakon dibawah arahan suami kerana senang hendak menyusun jadual.

“Kalau drama episod dan perlu menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur memang saya tolak,” jelasnya.

Dalam pada perkembangan lain, Faezah berkata, dia bakal memasuki set penggambaran sebuah telefilem berjudul Selimut Merdeka.
Sumber: Mstar



Sumber “Jadi ‘poyo’ pula anak saya kalau ada instagram” – Faezah Elai

0 Response to "“Jadi ‘poyo’ pula anak saya kalau ada instagram” – Faezah Elai"

Post a Comment