Isteri Dakwa Tidak Tahu Suami Dihantar Pulang

Isteri warga Turki, Ihsan Aslan berkata dia tidak tahu suaminya telah dihantar pulang dan hanya mengetahui berita itu setelah dihubungi wartawan.

“Dia fikir akan dibebaskan segera. Dia tiada idea,” kata Ainnurul Aishah Yunos Ali Maricar kepada pemberita pada sidang media, Jumaat ditemani peguamnya, Noor Svetlana Mohd Noor Noordin.

Ainnurul yang juga warga Malaysia hanya mengetahui nasib suaminya itu pada Jumaat selepas wartawan menghubunginya dan membaca kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitter.

Ihsan dihantar pulang ke Ankara bersama dengan dua rakan senegaranya, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik pada Khamis.

Ainnurul berkata tiada petunjuk suaminya akan dihantar pulang ketika dia bertemu dengannya pada petang Khamis ditemani peguam.

“Saya masih tertekan dan terkejut,” kata ibu tiga anak itu yang tidak menyangka suaminya akan dihantar pulang.

Ditanya sama ada dia akan membawa tiga anaknya ke Ankara untuk bertemu bapa mereka, Ainnurul berkata:”Buat masa ini, kami akan tinggal di sini.”

Ainnurul turut memberitahu dia dimaklumkan oleh bapa mertuanya bahawa Ihsan sudah berada di Ankara.

“Itu sahaja maklumat yang saya ada,” katanya.

Menurut Ainnurul, suaminya sudah berada di Malaysia sejak 2001 dan mereka berkahwin pada 2003.

Beliau mendakwa suaminya mempunyai visa sah.

Peguamnya, Noor Svetlana berkata mereka dapat berjumpa dengan pegawai penyiasat di Bukit Aman pada Jumaat.

“Kami akan membawa balik barang peribadi miliknya yang diambil ketika dia ditahan.

“Apa yang berlaku hari ini amat mengejutkan. Kami fikir ada peluang untuk bertemu Ihsan semula,” katanya.
Sumber: MStar



Sumber Isteri Dakwa Tidak Tahu Suami Dihantar Pulang

0 Response to "Isteri Dakwa Tidak Tahu Suami Dihantar Pulang"

Post a Comment