Catriona Ross turun 17 kg

Pernah dikritik gara-gara berbadan gempal, pelakon, Catriona Ross yang kini langsing menerima banyak mesej dari peminat yang bertanya dan meminta tip kurus darinya.

Disebabkan terlalu sibuk dan tidak dapat menjawab pertanyaan mereka satu-persatu, Catriona atau Cat bercadang untuk menulis buku mengenai tip dan aktiviti dilakukannya sehingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 17 kilogram dalam masa lima bulan.

Kata Cat, ada yang menghantar mesej di Instagram dan ada juga yang meminta tip menerusi e-mel. Bagaimanapun dia tidak dapat menjawab satu per satu pertanyaan mereka kerana sibuk dengan keluarga dan anak.

“Saya berharap dengan terhasilnya buku itu, ia dapat membantu individu yang ingin menurunkan berat badan. Ini adalah usaha saya sendiri dan saya sudah mula menulis sikit-sikit. Mungkin akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Cat juga menafikan penurunan berat badannya disebabkan melakukan proses sedut lemak atau dibantu produk pelangsingan.

Dia menegaskan hanya mengamalkan pemakanan sihat dan menyertai aktiviti mendaki. Antara makanan yang menjadi pilihannya sepanjang tempoh diet adalah beras perang dan sup sayur serta lauk yang dimasak tanpa menggunakan minyak.

Cat gembira kerana sejak kurus dia dipilih menjadi duta produk kecantikan dan menerima banyak tawaran berlakon.

Katanya, tiga tahun menyepi tidak sangka namanya masih diingati dan masih menjadi pilihan pengarah.

“Apabila mendapat banyak tawaran, saya agak terkejut dengan peluang diberikan. Buat masa ini, saya meminta pihak produksi memberikan masa sebelum kembali aktif.

“Status sebagai ibu dan isteri membuatkan saya harus membuat persiapan rapi. Saya harus merancang dengan teliti supaya tidak mengganggu tanggungjawab pada rumah tangga,” katanya.

Buat masa ini Cat akui belum bersedia untuk kembali berlakon walaupun terlalu rindu dengan seni.

Katanya, banyak perkara yang harus dipersiapkan terlebih dulu sebelum kembali aktif.

“Saya harus susun jadual dengan teliti bagi memastikan rumah tangga dan kerjaya seimbang. Saya harus fikirkan anak yang bersekolah. Siapa yang akan mengambil dia di sekolah dan sediakan makanan untuk mereka,” katanya.

Berlakon dalam Cucu Tauke Beras, Catriona tidak menolak diberi watak sebagai ibu. Baginya, karakter sebegitu bukanlah merendahkan kerjayanya.

“Pada usia sekarang dan juga penampilan, saya rasa watak ibu itu logik untuk saya lakonkan. Tidak ada istilah menjatuhkan status dulu bawa karakter hebat sekarang hanya sekadar watak ibu.

“Saya juga tidak takut kelihatan tua membawa watak sebegitu. Kalau penonton melihat saya tua dari usia sebenar, saya gembira kerana saya berjaya membawa watak itu dengan baik. Tetapi bagi yang mengikuti media sosial saya, pasti tahu penampilan saya ketika luar waktu penggambaran.

“Apa pun, watak ibu itu haruslah bersesuaian dengan keadaan sekeliling. Saya tidaklah mahu bergelar ibu kepada anak yang kelihatan seperti adik saya,” katanya.

Cat atau Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross akui sepanjang tempoh berehat, dia menonton kembali lakonannya melalui drama yang pernah dilakonkannya dulu sebagai pelepas rindu.

“Tidak dinafikan dalam tempoh berehat, industri seni sudah berubah dari segi pemilihan karya serta hadirnya ramai pelakon baru. Bagaimanapun, rasa cinta saya pada seni tidak pernah berubah.

“Dari awal pembabitan, saya menceburi bidang seni kerana ia adalah jiwa saya. Saya tidak pernah mengubah prinsip walaupun dalam keadaan industri yang ada turun naiknya.

“Sehingga ke hari ini, saya berlakon kerana minat bukannya dipengaruhi sebab-sebab tertentu. Sebab itulah saya terlalu rindu untuk kembali berlakon walaupun baru tiga tahun berehat,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Catriona Ross turun 17 kg

0 Response to "Catriona Ross turun 17 kg"

Post a Comment