KUALA LUMPUR: Berikutan misi pencarian di dasar laut pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi dijangka selesai pada Jun atau Julai ini, pihak penyiasat nahas udara Australia berkemungkinan akan menggunakan teori konspirasi “juruterbang mengganas”, bahawa kapten sengaja membiarkan pesawat itu terhempas sebagai ‘kesimpulan’.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Martin Dolan kepada The Times, sekiranya MH370 masih tidak dijumpai dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pihaknya perlu memberi penjelasan dan alternatif lain kepada kerajaan dalam usaha merungkai misteri kehilangan pesawat itu yang hilang sejak Mac 2014.
Ini berdasarkan kepada dakwaan sebelum ini bahawa pesawat itu mungkin diterbangkan secara ‘auto-pilot’ sehingga ia kehabisan bahan bakar.
“… Secara jujurnya, alternatif itu, walaupun dengan segala bukti-bukti, ada kemungkinan bahawa ada seseorang yang mengawal pesawat tersebut… Jika kita mengecualikan kawasan carian sekarang.
“Jika tidak menjumpainya, kita kena mempertimbangkan bahawa dipenghujung penerbangan pesawat itu ada seseorang yang mengawalnya,” kata Dolan dipetik sebagai berkata, hari ini.
Sementara itu, juruterbang veteran, Byron Bailey berkata, ATSB enggan melayan teori tersebut kerana tidak mahu ‘memalukan Malaysia’.
Sebelum ini, ramai yang menuding jari kehilangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 penumpang dan anak kapal disebabkan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Sehingga kini, pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemukan walaupun misi pencarian besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal, meskipun kira-kira 90,000 km persegi daripada 120,000 km persegi kawasan pencarian telah diliputi.
0 Response to "Teori "Juruterbang Mengganas" Akan Diguna Pakai Sekiranya MH370 Tidak Ditemui"
Post a Comment