Buku 1MDB untuk pelajar universiti


Kuala Lumpur – Unit propaganda Putrajaya, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) mula mengedarkan buku mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada pelajar universiti bagi menangkis dakwaan terhadap firma milik Kementerian Kewangan itu.

Panel pemikir Jasa, Datuk Lokman Adam berkata buku kecil itu perlu bagi pelajar mendapatkan “gambaran jelas” mengenai pelabur kontroversi itu dan diedarkan sebagai susulan kepada program anjuran jabatan itu, Jelajah Kampus.

Buku kecil yang mengandungi 79 muka surat, bertajuk “1MDB: Siapa Kata tidak dijawab?” diedarkan kepada semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Sebelum ini kami terima banyak rungutan daripada pelajar universiti sendiri, bertanya kenapa kerajaan tidak beri penjelasan.

“Kami ada beri penerangan dalam program Jelajah Kampus. Tetapi, terlalu ramai (pelajar bertanya), kami tidak mampu untuk berjumpa dengan semua.

“Jadi, kerana itu kami buat keputusan untuk mengedarkan buku tersebut,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Lokman berkata, pada November dan Disember tahun lepas, Jasa menjelajah ke 20 universiti dalam usaha memberi penerangan mengenai firma milik Kementerian Kewangan itu, yang penubuhannya diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jasa menjelaskan kepada pelajar isu hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, yang kini dalam proses pembayaran balik melalui langkah rasionalisasi yang termasuk menjual tanah dan aset lain.

“Semua universiti terlibat. Kami tidak ada pengecualian mengenai itu. Dan kami juga menumpukan usaha untuk mengedarkan kepada universiti swasta kerana kami sedar mereka ini lebih senang dapat maklumat dari luar,” katanya.

Sebelum ini, mahasiswa universiti itu mendedahkan kepada The Malaysian Insider mengenai pengedaran buku itu yang diberikan secara percuma menerusi pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Wakil Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Suhail Wan Azahar berkata berdasarkan prakata dalam buku itu, ia mengumpulkan jawapan daripada Najib, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Antara kandungan buku itu ialah jawapan kepada tuduhan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk menafikan dakwaan kehilangan dana yang diterima 1MDB.

“Tuduhan Dr Mahathir ini dibuat berdasarkan andaian semata-mata tanpa merujuk kepada dokumen dan penyata kewangan sebenar.

“1MDB mengeluarkan infografik ringkasan berdasarkan fakta dalam penyata kewangan yang diaudit untuk membuktikan tiada dana 1MDB yang lesap,” menurut buku itu.

Ia juga menyebut mengenai penafian kerajaan terhadap dakwaan ia tidak menjawab mengenai isu 1MDB, menyatakan dari Januari hingga November 2015, 1MDB sendiri mengeluarkan 90 kenyataan menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan.

Penerangan tepat, kata UM

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin mengesahkan pengedaran buku tersebut oleh pihak universiti yang bermula pada 21 Februari lalu.

Katanya, keputusan mengedarkan buku itu dibuat memandangkan ia diterbitkan secara rasmi oleh agensi kerajaan dan pihak pengurusan universiti berpendapat ia bagus untuk rujukan dan bacaan pelajar.

“Mutakhir ini terdapat banyak berita dan fakta yang dikeluarkan pelbagai pihak mengenai 1MDB.

“Edaran buku jawapan tersebut berpatutan, agar pelajar mendapat penerangan tepat daripada sumber rasmi kerajaan,” katanya melalui jawapan dalam kiriman emel kepada The Malaysian Insider.

Mengulas mengenai kritikan Persatuan Untuk Beliau Baru UM (Umany) yang mengkritik kerajaan, Amin berkata, pihak universiti tidak mengiktiraf pertubuhan tersebut.

Beliau berkata, Umany tidak mewakili majoriti suara pelajar di UM kerana status pertubuhan itu yang tidak sah.

Selasa lalu, Umany lantang mengkritik pengurusan universiti yang didakwa menjadi boneka kepada kerajaan kerana ia dikatakan seolah-olah menolong perdana menteri menutup skandal kewangan terbesar di negara ini.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata tindakan pihak pengurusan hanya mencemarkan reputasi universiti terbabit.

Tambahan pula, kata mereka, program tersebut menggunakan duit rakyat sedangkan kos tersebut boleh digunakan bagi membantu UM yang kini berdepan pemotongan bajet.

Pasukan media 1MDB dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pertanyaan The Malaysian Insider tentang buku itu berkata, maklumat di dalam buku itu jawapan kepada soalan yang dibangkitkan pembangkang dan orang ramai mengenai firma itu.

“Buku itu, yang ditulis dengan cara mudah difahami bersama maklumat grafik, bertujuan memberi jawapan kepada isu mengenai 1MDB dari perspektif syarikat itu bagi membersihkan keraguan rakyat,” kata kenyataan itu.

Juga diterbitkan dalam buku itu, jadual program Jasa pada masa lalu di luar negara, menerangkan mengenai 1MDB melalui ceramah kepada pelajar Malaysia di United Kingdom dan di Jakarta dan Bandung di Indonesia; menunjukkan bagaimana jabatan itu selama ini aktif dalam menangani kebimbangan mengenai firma itu. – The Malaysian Insider

0 Response to "Buku 1MDB untuk pelajar universiti"

Post a Comment