10 Kereta Rosak Dihempap Tiang Elektrik Diseret Lori

DUNGUN: Sebanyak 10 kereta rosak dihempap beberapa tiang elektrik yang tumbang selepas diseret lori yang tersangkut pada kabel elektrik di Kilometer 96 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, pagi tadi.
Kejadian pukul 10.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila bahagian atas lori yang dalam perjalanan ke Setiu, tersangkut pada kabel elektrik ketika melalui Jalan Kampung Limbong.
Insiden berkenaan hanya disedari pemandu lori berusia 28 tahun itu setelah terdengar bunyi bising selepas menyeret kabel elektrik tersebut kira-kira 20 meter, sebelum menghentikan kenderaannya.
Pemandu berasal dari Negeri Sembilan itu kemudian mendapati kira-kira tujuh tiang elektrik tumbang dan menghempap kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta di situ.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jelasnya, akibat kejadian itu, ada kenderaan yang mengalami kerosakan sehingga 50 peratus selepas dihempap tiang berkenaan.

0 Response to "10 Kereta Rosak Dihempap Tiang Elektrik Diseret Lori"

Post a Comment