Oleh: Suberi Hussein
(Penjawat Awam, Putrajaya)
Umum mengetahui negara sedang ‘berperang’ dengan pandemik COVID-19. ‘Perperangan’ ini telah bermula sejak Januari 2020 dimana sehingga ke hari ini masih belum nampak penghujungnya. Ribuan rakyat telah dijangkiti oleh virus ini manakala ratusan pula telah meninggal dunia. Kerajaan telah melaksanakan segala usaha terdaya bagi membendung dan memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini. Para petugas barisan hadapan jua telah berkorban jiwa dan raga bagi memastikan rakyat di negara ini dilindungi dan mematuhi perintah-perintah kawalan pergerakan yang telah ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19. Akan tetapi, pelaksanaan perintah-perintah kawalan pergerakan ini telah memberi impak yang besar ke atas ekonomi negara.
Sepertimana yang dilaporkan menerusi media massa, dianggarkan seramai 800,000 rakyat negara ini telah kehilangan pekerjaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara. Ianya meliputi pelbagai segmen industri di negara ini khususnya industri pelancongan, penerbangan, pembuatan dan peruncitan. Pada 12 Oktober yang lalu negara telah dimaklumkan berkenaan rancangan syarikat penerbangan Malindo Air untuk memberhentikan seramai 2,200 orang pekerja disebabkan oleh pandemik COVID-19. Manakala “signing off” pekerja-pekerja syarikat penerbangan Malindo Air pada 31 Oktober yang lalu telah menimbulkan rasa sebak dikalangan rakyat Malaysia. Sesungguhnya ramai dikalangan rakyat negara ini sedang menghadapi kesukaran yang disebabkan hilang mata pencarian.
Secara peribadi, saya amat bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan di sektor awam. Walau bagaimanpun, baru-baru ini saya telah dikejutkan tentang perkhabaran bahawa sahabat karib saya telah diberhentikan kerja juga akibat kesan COVID-19. Beliau telah berkhidmat melebihi 10 tahun sejak dari penubuhan syarikat tersebut. Hati saya amat tersentuh dan sedih memikirkan kehidupan sehariannya selepas ini, demi mencari mata pencarian bagi meneruskan hidup bersama isteri dan empat orang anaknya yang masih bersekolah. Namun adalah lebih perit untuk membayangkan nasib para peniaga kecil, mereka yang bekerja sendiri serta 800,000 orang yang turut kehilangan pekerjaan saat ini. Sudahlah hilang mata pencarian, peluang pekerjaan juga terbatas manakala keperluan keluarga di rumah perlu disediakan.
Sepertimana yang saya nukilkan di atas, sebagai penjawat awam saya amat bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan. Malah dikala negara menghadapi cabaran COVID-19 ini, sebahagian daripada penjawat awam juga dibolehkan untuk bekerja dari rumah dan masih memperoleh gaji seperti biasa. Ini merupakan nikmat yang tidak terhingga di kala tragedi COVID-19 melanda negara. Saya percaya perbelanjaan yang dilakukan oleh penjawat awam telah serba sedikit membantu sektor ekonomi dalam negara untuk bertahan saat diuji COVID-19.
Bagi membantu rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional yang mana mensasarkan golongan B40 dan M40. Ianya merupakan bantuan secara “one-off” yang disediakan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat. Namun wujud persoalan tentang mengapa penjawat awam turut menerima bantuan tersebut walaupun pendapatan mereka tidak terjejas. Malah baru-baru ini seorang perunding kewangan menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju Bantuan Prihatin Nasional diberikan kepada penjawat awam. Berikutan kenyataan tersebut, pihak CEUPACS telah tampil untuk mempertahankan keputusan kerajaan untuk turut memberikan bantuan tersebut kepada penjawat awam.
Sejujurnya, saya memahami mengapa kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan mereka. Perunding kewangan tersebut menegaskan bahawa bantuan tersebut seharusnya disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan kerana pendapatan penjawat awam tidak terjejas oleh COVID-19. Mereka yang kehilangan pekerjaan, peniaga kecil dan yang bekerja sendiri adalah golongan yang harus diutamakan. Manakala pihak CUEPACS juga haruslah dilihat menjalankan tugasnya dalam mempertahankan penjawat awam dari sebarang “serangan” walaupun kadang-kala perkara yang dibangkitkan itu ada kebenarannya.
Oleh yang demikian, dikala sebahagian besar rakyat di negara ini sedang dilanda kesusahan maka seharusnya sebagai penjawat awam kita haruslah mensyukuri nikmat yang diberi dan mencari ruang untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Saya yakin ada diantara kita mengenali mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Mereka mungkin adik-beradik, sanak-saudara, teman rapat, jiran mahupun kenalan kita. Keperitan hidup yang dihadapi mereka kini seharusnya menginsafkan kita tentang masalah besar yang sedang dihadapi negara dan rakyatnya. Justeru, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk menyelami keadaan semasa negara dan berlapang dada sekiranya tiada insentif tambahan diumumkan untuk penjawat awam diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November kelak. Bayangkanlah sekiranya kita yang kehilangan mata pencarian dan hidup berbekalkan simpanan yang semakin menyusut. Anggaplah ini pengorbanan penjawat awam demi membantu rakyat yang lebih memerlukan.
Seterusnya marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi atas segala nikmat yang diberi serta mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan kerajaan khususnya petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19. Adalah diharapkan apabila COVID-19 dapat ditangani kelak, proses pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan lebih agresif bagi memastikan masa depan yang lebih baik buat seluruh rakyat negara ini.
** Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.
The post Belanjawan 2021: Mensyukuri Rezeki Kala Diuji, Rakyat Terkesan Seharusnya Diutamakan appeared first on M-Update.
source : M-Update
0 Response to "Belanjawan 2021: Mensyukuri Rezeki Kala Diuji, Rakyat Terkesan Seharusnya Diutamakan"
Post a Comment