Oleh: Ahmad Syukri bin Khusaini
(Mahasiswa di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya)
Umum mengetahui bahawa Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November 2020. Belanjawan ini dilihat sangat signifikan khususnya di kala negara sedang berperang dengan wabak COVID-19 yang bukan hanya telah mengorbankan nyawa, malah turut memberi impak yang sangat negatif terhadap ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat di negara ini. Maka kini timbul persoalan adakah Kerajaan Perikatan Nasional masih mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat bagi meluluskan Belanjawan 2021.
Pelbagai kenyataan berkaitan status sokongan daripada ahli-ahli Parlimen khususnya dari parti UMNO telah menimbulkan persoalan besar samada Kerajaan Perikatan Nasional masih mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi untuk kekal memerintah. Ianya telah dihangatkan lagi dengan keputusan Mesyuarat Biro Politik Umno pada 13 Oktober 2020 yang lalu bilamana mesyuarat itu antara lain bersetuju untuk mempertimbangkan semula sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional. Situasi ini telah menyebabkan Belanjawan 2021 berhadapan kemunugkinan tidak diluluskan apabila dibentang di Parlimen kelak.
Ketidaktentuan inilah berkemungkinan menjadi antara punca mengapa Perdana Menteri terpaksa menghadap SPB Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan supaya darurat diisytiharkan. Perisytiharan darurat ini akan membolehkan Belanjawan 2021 yang disifatkan amat penting bagi negara dan rakyat bagi menghadapi cabaran COVID-19 diluluskan tanpa perlu dibentangkan di Parlimen. Walaubagaimanapun melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara, SPB Yang di-Pertuan Agong telah berpendapat bahawa tiada keperluan bagi mengisytiharkan darurat pada waktu ini dan mengingatkan semua ahli politik supaya menghentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara. SPB Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kepercayaan terhadap keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.
Kebimbangan kini adalah sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, maka implikasi daripada situasi tersebut akan memberi impak negatif terhadap kerajaan, rakyat dan ekonomi negara. Kegagalan untuk meluluskan Belanjawan 2021 akan menyaksikan Kerajaan Perikatan Nasional tumbang. Malah lebih menyulitkan keadaan seluruh jentera kerajaan tidak akan mempunyai peruntukan bagi tahun 2021 justeru melumpuhkan keseluruhan organisasi Kerajaan bahkan gaji penjawat awam juga tidak dapat dibayar pada tahun 2021 disebabkan ketiadaan peruntukan.
Situasi ini turut akan memberi impak dari segi ekonomi bilamana pelabur luar akan beralih ke negara lain disebabkan ketidakstabilan politik di negara ini manakala pelabur yang telah berada di negara ini pula besar kemungkinan akan mengambil keputusan untuk “angkat kaki” dan mencari lokasi yang lebih baik bagi menjalankan perniagaan. Keruntuhan ekonomi negara akan menambah kesengsaraan rakyat yang telah sedia terkesan dengan wabak COVID-19. Justeru adalah penting bagi Belanjawan 2021 diluluskan bagi membolehkan Kerajaan menangani COVID-19 dengan berkesan serta memulihkan ekonomi negara.
Ruang Bagi Kerjasama Bipartisan
Dikala negara menghadapai ancaman wabak COVID-19 serta kemelesetan ekonomi, seharusnya ahli-ahli politik mengetepikan perebutan kuasa buat seketika dan memikirkan keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. Merujuk kepada kenyataan media Istana Negara, “Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada”. Justeru saranan SPB Yang di-Pertuan Agong adalah bertepatan dengan situasi semasa yang dihadapi negara.
Sehingga ke hari ini, sebahagian besar parti-parti politik negara telah menyatakan secara terbuka tentang kesediaan untuk menghentikan policticking dan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan bagi tujuan meluluskan Belanjawan 2021. Kenyataan daripada Tun Dr. Mahathir, Anthony Loke, Dato’ Seri Salahuddin Ayub jelas menunjukkan kemungkinnan terjadinya kerjasama bipartisan bagi mengangkat kepentingan rakyat dan negara seterusnya meluluskan Belanjawan 2021. Parti-parti komponen Kerajaan Perikatan Nasional juga turut menzahirkan sentimen yang sama melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak. Namun segala kenyataan itu hanyalah sekadar kenyataan sehinggalah ianya dizahirkan melalui undi di dalam Dewan Rakyat kelak. Bak kata pepatah inggeris “talk is cheap”, maka pembentangan belanjawan tersebut merupakan platform terbaik bagi ahli-ahli politik menunjukkan bahawa mereka sebenarnya menjaga kepentingan rakyat dan negara berbanding persepsi bahawa mereka hanya mementingkan kuasa dan kepentingan diri sahaja. Adalah diharapkan Belanjawan 2021 dapat diluluskan demi memastikan negara dapat menghentikan penularan COVID-19 dengan berkesan.
**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.
The post Pembentangan Belanjawan 2021, Medan Rekonsilasi Politik Negara appeared first on M-Update.
source : M-Update
0 Response to "Pembentangan Belanjawan 2021, Medan Rekonsilasi Politik Negara"
Post a Comment