Tanggungjawab remaja ini sebagai anak sulung sangat besar, apatah lagi bapanya dijemput Ilahi pada Ahad lalu dan ibu masih koma.
Jika diikutkan, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16, tidak kuat menghadapi takdir itu, namun demi empat adik dan janjinya kepada arwah bapa, Khairizul Mohamad Noor, 38, dia terpaksa tabah.
Katanya, janjinya pada arwah menjadi kekuatan dan dia tidak akan sekali-kali mempersiakan amanat terakhir Khairizul.
“Masih terngiang-ngiang lagi pesanan abah pada malam sebelum kemalangan itu. Arwah minta saya menjaga adik dengan baik dan janji itu saya pegang.
“Malah, pakaian terakhir yang ayah pakai juga sudah dicuci kerana ia kenangan yang tinggal untuk kami,” katanya ditemui di rumah datuknya di Kampung Bagan Jermal, Butterworth, hari ini.
Khairizul meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bersama isteri, Zuriana Hasan, 35, dilanggar pemandu dipercayai mabuk pada 5 pagi, 9 Februari lalu di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara dekat susur ke Perai.
Sejak kemalangan itu, Nur Afni Nirwani bersama adiknya, Nur Istna Nadira, 14; Nur Erna Nabila, 12; Nur Qurratul Ain, 7; dan Muhammad Khairi Zafran berusia 21 bulan dijaga datuk mereka Hassan Ismail, 67, dan nenek, Asmalaili Mohd, 59.
Nur Afni Nirwani yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam itu berkata, adiknya sudah mula bertanya mengenai ibu bapa mereka kerana rindu.
“Adik bongsu pula sesekali akan menangis mencari ibu. Nur Qurratul Ain sering bertanya mengenai keadaan ayah di alam sana. Sukar untuk dijelaskan, namun sebolehnya saya akan menukar perbualan supaya tidak sedih.
“Walaupun ada pihak yang menyatakan kesudian menjaga adik, namun saya tidak akan membenarkannya kerana janji pada ayah. Kami tidak akan berpisah,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi guru.
Orang ramai yang ingin membantu anak yatim ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank RHB Noorlyana Hasan (ibu saudara) bernombor 20711200073174.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemandu lelaki yang menyebabkan kematian Khairizul dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita masih menunggu laporan kimia dan patalogi sebelum kes dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga saman had laju di Butterworth, Bukit Mertajam dan Slim River, Perak,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro via https://suara.tv
sumber Sehinggit Media News
0 Response to "Kerana Pemandu Mabuk Mereka Jadi Yatim, Ayah Meninggal Dunia & Ibu Masih Koma"
Post a Comment