Amalan Luar Biasa Abam, Mr Os Dan Pak Yus Ketika Hidup. Ustaz Hanafi Bongkar Mengapa Ramai Ziarah Jenazah Mereka


BENARLAH seperti diperkatakan dalam banyak kuliah agama, jika seseorang melakukan sesuatu amal dengan ikhlas kerana Allah SWT, ganjaran pahala dan darjat seseorang manusia itu akan diangkat serta dikenang sehingga akhir hayatnya.

Demikianlah yang dapat disimpulkan apabila pelawak Abam (Bocey) yang meninggal dunia pada Isnin, bukan sahaja meninggalkan kesan kepada industri seni, sebaliknya turut menyentuh hati seluruh peminat hiburan tanah air.

Bayangkan, berduyun-duyun tetamu hadir menziarahi hari terakhirnya di dunia untuk menuju ke negeri abadi, iaitu alam akhirat.

Jenazah Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan bukan sahaja disolatkan oleh sahabat handai, peminat dan penduduk setempat malah ahli-ahli agama juga turut hadir mengaminkan doa.

Itulah mulianya Abam yang mana budi baiknya ditunjukkan Allah kepada orang ramai saat jasadnya dibawa ke liang lahad.

Dalam satu perkongsian bersama penceramah Ustaz Ebit Lew di sebuah program televisyen, Abam menceritakan kasih terhadap keluarga termasuk sayangnya kepada ibu yang antara lain menjadi punca rezekinya terbuka luas.


Selain pengalaman itu, penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi turut bercerita mengenai pengetahuannya mengenai Abam dan dua lagi pelawak iaitu Mr Os dan Pak Yus yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita.

Ketika-tiga mereka mempunyai pengalaman hebat, sehinggalah darjat diangkat untuk diperlihatkan saat hari kematian mereka.

Menurut Ustaz Hanafi, ketika hayatnya arwah Abam gemar bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, kehadiran orang ramai mengiringi perjalanan terakhir Abam di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak seolah-olah menzahirkan amalan mulia yang dilakukannya ketika hidup.


Malah menurut Hanafi, situasi sama turut berlaku ketika dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian Allahyarham Mr Os dan Pak Yus.

"Beberapa tahun lepas, saya berpeluang solatkan jenazah Mr Os. Ketika itu ramai orang sembahyangkan jenazah dia... menguruskan jenazah dia juga sesuatu yang mudah, Alhamdulillah.

"Begitu juga dengan Pak Yus... dan semalam (Isnin), Abam meninggalkan kita. Apa persamaan antara mereka?

"Pertamanya mereka adalah pelawak dan keduanya ialah mengenai kebaikan mereka yang disembunyikan... yang kita tak tahu," katanya menerusi Facebook.

Bercerita lanjut mengenai manfaat orang yang suka bersedekah, Hanafi berkata amalan itu merupakan jambatan untuk ke syurga.

"Selepas kematian Mr Os baharu ramai orang tahu bahawa dia rajin bersedekah walaupun ketika hidup dia berhadapan masalah kewangan, duit tak banyak.

"Dia memandu teksi, ketika memandu kalau orang tak cukup duit nak bayar... dia anggap sedekah. Sedekah adalah sesuatu yang menggembirakan Allah.

"Sedekah adalah perkara paling mudah untuk ke syurga dengan syarat kita ikhlas kepada Allah," katanya.

Selain itu Hanafi berkata Allah juga akan mengangkat darjat seorang anak yang sentiasa mengutamakan ibu bapanya.

"Semalam saya ada dengar Ustaz Salahuddin Nasir berkata, antara sebab ramai jemaah semasa solat jenazah Abam adalah kerana dia tidak meninggalkan ibunya, anak yang baik ini dapat keberkatan.

"Selain itu, dia suka mendampingi ustaz dan para ulama. Abam juga suka menolong orang yang dalam kesusahan... sebab itu dia ada kata kalau kita baik ramai orang sayang.

"Kita tak bawa apa-apa harta melainkan amalan, tiada peminat atau saudara yang akan menemani kita ke liang lahad, yang akan menemani kita hanya amalan... jadi apa persediaan kita? Bersiap sedialah, semua orang akan mati," ujarnya.

Pada Isnin, Abam, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak selepas dua hari mengalami demam panas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Siti Nur Hidayah Mohd Ali, 28, dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

Sebelum ini pelawak Mr Os atau nama sebenar Mohd Yusof Abdul Hamid meninggal dunia pada April 2016 dan Allahyarham Yussry Edoo atau Pak Yus pula menghembuskan nafas terakhirnya pada November 2015.

Ketiga-tiga mereka adalah antara ikon dalam dunia komedi yang terus dikenang buat selama-lamanya.

Semoga roh mereka dan umat Islam lain mendapat rahmat dan pengampunan Allah... Al-Fatihah.

Sumber: Mstar Online


sumber Sehinggit Media News

0 Response to "Amalan Luar Biasa Abam, Mr Os Dan Pak Yus Ketika Hidup. Ustaz Hanafi Bongkar Mengapa Ramai Ziarah Jenazah Mereka"

Post a Comment