Selepas spekulasi Acap kononnya sudah tiada di Gopeng tapi kini berada di johor, ini respon dari Abang Acap...



HARI ke-18 misi pencarian peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohamad Ashraf Hasan dihangatkan dengan pelbagai spekulasi dan teka-teki mengenai lokasi sebenar pemuda itu hingga pasukan sukarelawan menemui jalan buntu.

Kenyataan beberapa sukarelawan yang terlibat dalam misi pencarian penuh misteri itu dengan berkongsi pandangan dan membuat konklusi kehilangan Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap turut mengundang persoalan ramai.

Terdapat beberapa kesimpulan yang tular di media sosial termasuklah ada pihak mendakwa pemuda berusia 29 tahun itu sebenarnya tiada lagi di Gopeng.

Posting penuh tanda tanda yang dikongsi seorang individu yang terlibat dalam menjejaki Acap seolah-olah memberi gambaran bahawa misteri kehilangan pemuda itu sebenarnya sudah terungkai.

Pangiran Nurdian Syah yang juga seorang perawat kerohanian ketika dihubungi mStar Online memberitahu kesimpulan itu dibuat berdasarkan beberapa petunjuk yang diperolehi sepanjang seminggu berada di sana.



"Pada pandangan saya dia tidak ada di sekitar Gopeng. Kita ada jumpa beberapa petunjuk secara batin atau fizikal dan juga teknikal. Aura-aura atau tenaga roh Ashraf tidak dirasai di alam sebelah sana.

"Kalau ikutkan cara teknikalnya lebih kurang 600 lebih sukarelawan, tidak termasuk lebih beratus-ratus anggota bomba dan polis bertugas tetapi masih tak jumpa kesan fizikal dan tiada kesan dari sudut alam ghaib.

"Dari sudut kerohanian dah cuba bermacam-macam cara, lepas tu dari sudut teknologi pula dah guna anjing pengesan, teknologi satelit kesan haba tapi tak jumpa setakat ini.

"Makna kata, kita ambil kedua-duanya. Dari sudut fizikal kita kaji, alam ghaib pun kita kaji tapi kedua-duanya tidak seimbang. Setelah mengambil kira semua itu, saya melihat ada sesuatu tidak kena dalam kes ini," dia memberi pandangan.

Pemuda berusia 33 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesimpulan tersebut, sebaliknya meminta agar semua pihak menunggu pengumuman rasmi pihak polis.

"Ada beberapa (perkara) yang mungkin ada kaitan dengan sesuatu yang lain yang kita tak pernah sangka. Saya pun tak boleh reveal ia di luar kuasa saya takut mengganggu siasatan.

"Sudah ada konklusi tapi kena tunggu pengumuman polis. Setiap apa yang berlaku ni dah jadi siasatan polis. Malah saya yakin polis sedang menyiasat sesuatu ketika ini," katanya.


Dalam pada itu, Pangiran Nurdian Syah atau lebih dikenali sebagai Aduka menafikan teori Acap mungkin tersesat berdasarkan beberapa petunjuk diberikan seorang lelaki tua semasa misi pencarian itu.

"Mengikut penceritaan dia, kampung ini orang takkan sesat secara fizikal. Macam mana pusing pun kampung ini ibarat dalam bulatan, kalau kita berada di tengah kita sesat masuk hutan kita keluar pun mesti jumpa jalan raya... kampung.

"Kalau kita keluar kanan pun akan jumpa kampung, kiri kanan depan belakang semua akan jumpa... tidak akan sesat. Jadi kena ingat banyak faktor last check point berdekatan dengan Gua Kandu, dia masih kelihatan ketika itu.

"Ada orang nampak di check point 10, jadi apabila di situ check point 10 berdekatan lebuh raya tak sampai satu kilometer pun. Jadi ada kemungkinan keluar dari laluan trail yang disediakan penganjur," katanya.



Seorang lagi sukarelawan, Muhammad Mamzah dalam satu postingnya di Facebook yang tular seolah-olah memberi bayangan serupa apabila sudah menamatkan operasi pencarian tersebut pada Isnin.

Malah pemuda itu meminta orang ramai supaya tabah menerima jawapan misteri kehilangan Acap yang akan dirungkaikan kelak.

"Jangan bersedih teman... kita semua sudah all out berikan yang terbaik. Tiada lain niat kita semua sama, iaitu hendak membantu orang yang tengah susah dan kehilangan ahli keluarga.

"Apapun jawapannya yang akan dibongkarkan oleh pihak PDRM nanti, kita terima dengan hati terbuka. Yang pasti ia akan memusnahkan segala mak nenek teori alam ghaib yang merapu dan meraban," katanya.


Muhammad Mamzah turut berharap agar keluarga Acap terus tabah menghadapi segala jerit perih ini sehinggalah semuanya selesai.

"Kami di sini mendoakan agar satu hari nanti saudara Asyraf tergerak hati hendak pulang dan dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

"Ini penting agar kita semua sama-sama dapat mendengar jawapan dan penjelasan daripada tuan empunya badan sendiri. Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, abang Acap, Mohd Zahiruddin, 35, bagaimanapun menafikan sebarang spekulasi tular tentang kehilangan adiknya.

"Kalau betul mereka nampak dia dekat Johor, orang yang buat spekulasi itu tolong tampil berjumpa dengan saya dan beritahu lokasi dia berada.

"Jangan hanya taip ikut sedap mulut dekat media sosial kemudian viralkan. Saya tak tahu apa niat dia, mungkin dia berlumba-lumba nak kejar populariti. Saya sendiri pun tak pasti.

"Tapi dakwaan itu tidak benar sama sekali. Apa yang pasti kami akan terus fokus mencari Ashraf sehinggalah dia ditemui," katanya kepada mStar Online.



Malah dia turut menyerahkan kepada polis jika wujud unsur jenayah dalam kes kehilangan adiknya.

"Kalau ada unsur jenayah, saya serahkan kepada pihak polis kerana mereka lebih arif dalam perkara ini. Biarlah mereka siasat jika benar dakwaan itu," katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan penceramah bebas terkenal Datuk Kazim Elias pada Isnin, Mohd Zahiruddin berkata dia enggan mendedahkan intipati pertemuan itu.

Ini berikutan posting tular yang mendakwa Kazim, dalam satu ceramahnya berkata Acap tidak hilang sebaliknya berada di Johor.



"Ia ada kaitan dengan pencarian Ashraf tapi saya minta maaf kerana tidak boleh ceritakan apa sahaja berkaitan pertemuan itu.

"Saya rasa tidak elok untuk saya update apa sahaja di Facebook saya. Mungkin ada yang marah jadi atas sebab itu saya percaya wujudnya spekulasi mengatakan adik saya tidak berada di Gopeng," katanya.

Polis tak terima laporan

Sementara itu Bernama melaporkan polis Perak tidak pernah menerima laporan daripada mana-mana pihak bahawa mangsa telah ditemui.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa menyertakan bukti dan fakta kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

"Kita (polis) tidak mahu mana-mana individu tularkan apa-apa perkara tanpa bukti dan fakta sebab ia akan mengguris hati keluarga Acap. Seperti (ada seorang) individu kononya telah membongkar kehilangan Acap dan telah memberitahu polis, itu adalah perkara tidak betul.

"Dia tidak datang kepada polis dan hanya tulis dalam Facebook, tularkan macam itu sahaja, jadi janganlah kita mengeruhkan keadaan dan menjadikan ia lebih kusut," katanya, Selasa.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengenai kehilangan Acap dan telah merakam percakapan lebih tujuh individu termasuk anggota keluarga, rakan serta penganjur.

"Selain melakukan operasi mencari dan menyelamat, polis turut melakukan siasatan sekiranya wujud unsur khianat bagaimanapun hasil semakan telefon, bank dan kereta masih lagi macam tidak terusik dan tiada yang menjurus kepada khianat," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata pihak polis sekali lagi akan melaksanakan operasi mencari Acap di kawasan berlainan sekitar Gopeng pada Sabtu ini.

"Operasi ini bukan dalam skala besar tapi kita cuba cari di tempat lain yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Yahya Abd Rahman, kekuatan anggota belum diketahui lagi," katanya.

Sumber : mStar Online

Sumber Selepas spekulasi Acap kononnya sudah tiada di Gopeng tapi kini berada di johor, ini respon dari Abang Acap...

0 Response to "Selepas spekulasi Acap kononnya sudah tiada di Gopeng tapi kini berada di johor, ini respon dari Abang Acap..."

Post a Comment