Tukar Kebencian Jadi Pendapatan : Marie Kondo

Marie Kondo: Tukar Kebencian Jadi Pendapatan

Penulis: Nadia Nazri

#1-Siapa Marie Kondo?

Marie Kondo atau nama sebenarnya Kondo Marie adalah merupakan seorang wanita warganegara Jepun, dilahirkan pada 9 Oktober 1984. Marie telah tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 yang berpengaruh di dunia oleh ‘The Time’.

Bagi yang tidak mengenalinya, Marie merupakan penasihat atau perunding untuk mereka-mereka yang mengalami kesulitan untuk mengekalkan kekemasan rumah agar sentiasa cantik dan tersusun. Marie asalnya bermula sebagai seorang penulis dan setakat ini, Marie telah berhasil menulis 4 buah buku mengenai cara untuk menguruskan ruangan dalam rumah atau pejabat dengan cara yang tersendiri.

Salah satu daripada bukunya, ‘The Life-Changing Magic of Tidying Up’ merupakan buku ‘best-seller’ yang telah terjual berjuta-juta unit dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan dijual di lebih daripada 30 buah negara.

Sebelum era kejayaannya bermula, Marie pernah menghabiskan masa selama 5 tahun berkhidmat sebagai salah seorang ‘maiden’ atau pembantu paderi di kuil Shinto dan bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kekemasan kuil selain aktiviti-aktiviti lain. Maria memulakan bisnes sebagai perunding semasa berusia 19 tahun lagi semasa masih lagi menuntut di universiti dalam bidang sosiologi. Kerana kecintaannya terhadap kekemasan dan pengurusan ruangan, Marie telah memilih tajuk  “Tidying up as seen from the perspective of gender” sebagai tajuk kajian tesis tahun akhirnya.

Marie berkahwin dengan Takumi Kawahara pada tahun 2012, dan memiliki 2 orang cahaya mata. Kedua-dua anaknya telah diasuh untuk mengemas dengan cara yang betul dan mereka sering bersama-sama ibu mereka melakukan aktiviti ini di rumah dan diluar rumah.

#2-Bermula Daripada Kebencian

Minat beliau dalam pengurusan ruangan dan pengemasan dalam rumah bermula sejak kecil lagi. Jika di sekolah, apabila kanak-kanak normal lain bermain dan berseronok semasa kelas Pendidikan Jasmani, Marie sebaliknya lebih memilih untuk mengemas buku-buku di rak kelas. Sememangnya, aktiviti mengemas buku menjadi kesukaannya berbanding penglibatan dalam aktiviti-aktiviti yang lain.

Marie mengakui yang sejak kecil lagi dia obses dengan ruangan yang kemas dan teratur. Marie sangat tidak menggemari ruangan yang bersepah dan berselerak dan sentiasa memikirkan barangan apa yang boleh dibuang untuk memaksimakan penggunaan ruangan. Marie sentiasa mengemas apabila berada di rumah dan tahap obsesi beliau ini kadang-kadang memeningkan kepala ibu dan bapanya kerana sifatnya yang pantang melihat ruangan bersepah walaupun cuma sebentar.

Pada suatu hari, apabila dia sedang mengemas rumah yang berselerak yang mungkin pada ketika itu dia turut berasa terganggu dan terlalu letih menyebabkan dia pengsan selama 2 jam. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Marie terdengar suara yang mengatakan dia sepatutnya melihat barangan yang ada dengan lebih berhati-hati dan teliti. Sebaik sahaja tersedar, Marie mulai faham yang dia telah mengemas rumah dengan cara yang salah selama ini. Kesilapan besar yang dia lakukan semasa mengemas adalah dengan memberi fokus terhadap apa yang perlu dibuang bukannya apa yang perlu disimpan. Mengemas adalah satu kemahiran seni dan baginya kita harus mengenal pasti apa yang membuatkan kita gembira dalam rumah dan itulah hasil kekemasan yang paling unggul.

#3-Menempa Nama Di Hollywood

Apabila Marie mula menempa nama di Jepun, beliau terlibat dalam rancangan televisyen dan mula mendapat perhatian selebriti luar negara. Antaranya seperti Kristen Bell, Ellen Degeneres, Jennifer Garner, Hasan Minhaj dan ramai lagi. Apabila Marie mulai sibuk, suaminya membuat keputusan untuk berhenti dan menjadi pengurus media Marie. Selain menjadi CEO di syarikat sendiri dan mengajar ramai orang baik secara individu, syarahan berkumpulan dan melalui televisyen , Marie telah ditawarkan untuk menghoskan rancangan sendiri di Netflix bermula Januari yang lalu.

#4-Kaedah KonMarie Ubah Gaya Kehidupan Pelanggan

Kaedah KonMarie sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu dan sangat unik. Sebaliknya, tanah kelahirannya, negara Matahari Terbit sudah lama mengamalkan gaya hidup ‘Zen’ yang berkonsepkan sederhana dan ini telah menjadi ajaran Shinto yang diamalkan dalam budaya orang Jepun. Orang Jepun diajar untuk tidak membazir dan hidup secara bersederhana. “Less is more” adalah konsep yang diamalkan oleh orang Jepun untuk gaya hidup yang efektif.

Malah, dalam pengurusan aturan barangan dalam rumah, mereka mencipta beberapa cara untuk mengemasnya dengan mengasingkan objek mengikut kategori dan setiap kategori mempunyai cara pengurusan yang berlainan. Dengan asas budaya Jepun yang mahir dalam mengemas, Marie telah menambah baik kaedah mengemas dengan penambahan beberapa langkah seperti dia mengajar masyarakat untuk menghargai objek yang tidak bernyawa dan melayan mereka sama seperti manusia yang punyai perasaan.

Jika diperhatikan dalam rancangan beliau, Marie memulakan aktiviti mengemas dengan meminta pelanggan atau penghuni rumah itu untuk duduk di atas lantai dan meminta izin dari rumah untuk mula mengemas. Apabila selesai mengemas sesuatu seperti melipat baju, Marie mahu kita mengucapkan terima kasih kepada baju yang kita lipat sama seperti kita mengucapkan terima kasih kepada orang lain apabila menggunakan servis mereka. Marie juga meminta kita untuk mengimbau kembali kenangan kita bersama setiap barangan dalam rumah dan berfikir secara teliti jika perlu atau tidak membuang sesuatu barangan yang tidak digunakan.

Prinsip Marie dalam mengemas adalah , jika objek tersebut memberikan rasa gembira kepada kita, kita haruslah kekal menyimpan barangan tersebut dan sebaliknya. Kaedah mengemas yang diperkenalkan Marie benar-benar dihargai oleh ramai orang.

Marie merupakan orang yang paling mahir dalam bidang organisasi barangan rumah ketika ini bukan hanya kerana dia mahir mengemas akan tetapi minatnya yang mendalam dalam bidang ini dapat dilihat apabila dia berkongsi kedahnya dengan jujur dan ikhlas dan menyebarkan kegembiraan dalam setiap solusi masalah rumah. Kini, semua orang terbiasa dengan frasa pertanyaan, “Does it spark JOY?”. Ini adalah bukti yang kita akan berjaya apabila kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang kita sukai bukan semata-mata kerana wang tetapi untuk kebaikan orang lain.

Sebagai pengajarannya, dalam dunia bisnes, tidak semestinya kita fokus kepada perkara yang kita minat sahaja. Malah kita juga boleh jadikan perkara yang kita benci sebagai satu peluang bisnes. Dalam hal ini, Marie ternyata tidak menyukai persekitaran yang tidak kemas dan menawarkan servis yang mengubah tabiat orang lain untuk sentiasa mengemas dan mengekalkan kediaman agar sentiasa cantik dan teratur. Mungkin anda juga anda perkara yang tidak disukai dan boleh tukarkan ia menjadi satu peluang pendapatan?

Sumber Rujukan:



Sumber Tukar Kebencian Jadi Pendapatan : Marie Kondo

0 Response to "Tukar Kebencian Jadi Pendapatan : Marie Kondo"

Post a Comment