LEGASI BUDU CAP KETEREH, HASIL DARIPADA MENAMPUNG KEKURANGAN HIDUP

Penulis: Nadia Nazri

Sos ikan bilis atau nama glamornya budu sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Malaysia terutamanya orang Pantai Timur. Budu menjadi juadah selingan wajib dalam hampir setiap santapan yang dihidangkan. Sama seperti konsep sambal belacan, cencaluk dan tempoyak, budu digunakan untuk menambahkan rasa pada makanan dan selalunya dicicah bersama ulam-ulaman. Terdapat pelbagai jenama budu dalam pasaran dan jenama Budu Cap Ketereh merupakan jenama budu yang paling popular sehingga kini. Meskipun anda bukanlah orang Pantai Timur, namun anda pasti pernah mendengar jenama ini atau sekurang-kurangnya pernah melihat jenama budu ini di dalam pasaran. Mari kita ketahui jenama budu ini dengan lebih lanjut.

Budu Cap Ketereh diasaskan oleh Almarhum Tuan Ismail Jusoh bermula sejak tahun 1978 lagi. Kini, setelah hampir 40 tahun dalam pasaran, jenama ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri serta kelompok besar pembeli yang setia. Tuan Ismail atau lebih dikenali  ‘Pok Wil’ pada asalnya memproses budu bukanlah untuk tujuan komersial akan tetapi untuk memanfaatkan lebihan bekalan ikan bilisnya yang terlalu banyak ketika itu dengan cara yang baik. Sejarah budu bermula dengan golongan nelayan dahulu yang mempunyai lebihan hasil tangkapan ikan yang banyak namun kerana ketiadaan peti sejuk untuk menyimpan ikan-ikan tersebut dalam kadar jangka masa yang panjang. Jadi untuk tidak membazir, para nelayan memeram ikan-ikan tersebut menjadi budu.

Ramuan utama dalam budu adalah ikan bilis segar yang diproses bersama garam, cili, asam jawa dan air manisan. Begitulah sejarah penciptaan budu bermula dan kini wajib dihidangkan dalam juadah orang Pantai Timur. Budu Cap Ketereh ciptaan Pok Wil sememangnya popular bukan sahaja oleh penduduk Kelantan dan Terengganu bahkan di negeri-negeri lain termasuk luar negara. Bertempat di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Perusahaan Warisan Ketereh yang asalnya bermula secara kecil-kecilan dari belakang rumah ini telah berkembang pesat sehingga menjadi pengeluar budu terbesar dan tidak putus-putus menerima tempahan dan permintaan pelanggan dari serata dunia.

Melihatkan kepada permintaan pelanggan tanpa henti dan semakin meningkat setiap hari, Pok Wil ingin meluaskan pasarannya ke seluruh dunia. Ketika ingin menaiki pesawat ke China, beliau mendapati budu keluarannya tidak dapat dibawa bersama kerana faktor-faktor tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak Imigresen. Meskipun tidak dapat membawa dan mempromosikan produk budunya di Tanah Besar China pada waktu itu akan tetapi, Pok Wil tidak cepat melatah akan sebaliknya menjadikan peristiwa itu sebagai sumber inspirasi untuk menambahbaik produk budu keluarannya dengan menukar strategi pembungkusan dengan melalui kaedah inovasi yang lain.

Dengan sokongan pelbagai kementerian seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Perikanan dan sebagainya, Pok Wil berjaya menghasilkan produk budu dalam bentuk kiub melalui kerjasama dengan sekumpulan pelajar Politeknik Kota Bharu yang turut teruja dalam kajian inovasi pembungkusan budu yang lebih komersial dan memenuhi kehendak pasaran luar negara. Beliau mengakui sukar untuk membawa produk budunya ke luar negara dengan pembungkusan yang lama di dalam botol kerana mudah pecah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, semasa ingin ke Vietnam juga, beliau mendapat inspirasi untuk memasarkan budu dalam bentuk tiub dan paket ‘sachet’ pula. Dengan variasi inovasi ini, budu jenama Cap Ketereh boleh dibawa kemana-mana sahaja di setiap pelosok dunia dan ini merupakan solusi terbaik bagi penggemar budu yang suka melancong ke luar negara terutamanya dalam tempoh masa yang lama dan pada waktu yang sama, tidak betah untuk makan dengan berselera tanpa adanya budu bersama.

“Menurut Pok Wil, prinsip berniaga seperti kerja kuat, jujur, tidak sombong dan amanah menjadi resipi kejayaan beliau selama ini.”

Meskipun perusahaan kecil ini sudah berkembang dan kini empayar jenama Budu Cap Ketereh sudah tersohor dan dihasilkan di kilang yang mempunyai 80 orang pekerja, Tuan Ismail Jusoh tidak pernah meninggi diri. Mungkin sesetengah orang akan mudah ‘gelap mata’ apabila mendapat wang yang banyak akan tetapi, meskipun beliau berjaya menjual hampir 60,000 botol budu setiap bulan dan meraih kira-kira RM 10 juta setahun, akan tetapi, Pok Wil masih selesa berkain pelikat seperti orang kampung lain setiap masa. Karakternya sama seperti dahulu dan walaupun sudah bergelar jutawan namun beliau  tidak pernah menunjuk-nunjuk hasil kekayaannya seperti sesetengah usahawan yang lain. Bahkan, semasa pelancaran produk baharunya satu ketika dahulu, Pok Wil pernah disakat oleh mantan Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berjanji akan membelikannya kain pelikat baharu sekiranya produk barunya itu berjaya menembusi pasaran Dubai. Menurut Pok Wil, prinsip berniaga seperti kerja kuat, jujur, tidak sombong dan amanah menjadi resipi kejayaan beliau selama ini. Meskipun mendepani pelbagai cabaran seperti isu pesaing yang menciplak jenama cap keterehnya dalam pembungkusan dengan kualiti rasanya yang berlainan serta masalah lain, namun semua masalah cuba diatasi dengan bijak.

Siapa sangka, lelaki yang sering memakai kain pelikat hatta semasa di majlis formal bersama Menteri sekalipun ini merupakan seorang usahawan yang berjaya. Pasti orang luar yang tidak mengenali beliau tidak menduga akan lelaki ini sebenarnya adalah seorang jutawan. Malahan, beliau tidak pernah melupakan asal-usulnya dari kampung dan sentiasa bersikap merendah diri. Bahkan, pekerja-pekerja kilang beliau kebanyakkannya merupakan orang kampung itu sendiri. Ternyata pencapaiannya dalam bidang keusahawanan sedikit sebanyak membantu menjana ekonomi setempat dan membantu penduduk kampung dalam mencari sumber pendapatan. Meskipun almarhum Tuan Ismail sudah tiada akan tetapi, legasi bisnes ini akan diteruskan oleh 8 orang anak beliau yang komited untuk meneruskan empayar Budu Cap Ketereh agar lebih tersohor ke seluruh dunia bermula dengan menembusi pasaran Dubai, Singapura dan banyak lagi negara lain dalam perancangan sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh ayahanda mereka yang menjadi Tokoh dan Idola dalam bisnes tempatan. Semoga usaha mereka berjaya untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Almarhum Tuan Ismail Jusoh telah kembali ke rahmatullah pada Februari lalu akibat tekanan darah rendah. Semasa masih hidup, beliau menghidap kanser darah perigkat awal dan sedang menjalani rawatan Kimoterapi. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 8 orang anak. Semoga almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

 

Sumber Rujukan:

http://www.dof.gov.my

https://ift.tt/2VP9AqM

https://ift.tt/2ubgbjL

https://ift.tt/2VP9AXO

https://ift.tt/2u6Dw5L



Sumber LEGASI BUDU CAP KETEREH, HASIL DARIPADA MENAMPUNG KEKURANGAN HIDUP

0 Response to "LEGASI BUDU CAP KETEREH, HASIL DARIPADA MENAMPUNG KEKURANGAN HIDUP"

Post a Comment