“Gaji Sekadar Cukup Makan” - RM5000 Sebulan Belum Tentu Cukup Untuk Keperluan Harian Pada Zaman Sekarang..



“MESKIPUN hanya memiliki seorang anak berusia lima bulan namun dalam keadaan ekonomi sekarang, gaji bersih sebagai pegawai kerajaan gred 41 pun tidak cukup menyara keluarga terutama jika tinggal di Lembah Klang.

“Kenaikan kos sara hidup terutama harga barang keperluan harian menyebabkan pasangan berkahwin seperti kami memerlukan lebih RM5,000 sebulan untuk membayar semua bil dan keperluan harian,” kata Muhammad Syazwan Ahmad Kamal, 30.

Pegawai kementerian di Putrajaya itu berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Nurul Ayuni Tajudin, 26, turut bekerja bagi membantu menampung kewangan keluarga dan pendapatan kasar bulanan mereka mencecah RM6,500.

Kata Muhammad Syazwan, jika sekali imbas, jumlah pendapatan isi rumahnya besar namun hakikatnya tidak seindah dibayangkan.

“Kami perlu bayar sewa rumah RM1,000, kereta (RM1,000), yuran taska dan keperluan lain untuk anak (RM700), insurans (RM100), utiliti (RM50), bil telefon dan Internet (RM200), minyak kereta dan penyelenggaraan (RM800) serta barangan dapur RM500.

“Itu belum termasuk komitmen lain seperti pinjaman, pemberian untuk orang tua, simpanan kecemasan dan sebagainya.

“Pendek kata, pada zaman sekarang, gaji pegawai pun sekadar cukup makan jika tinggal di bandar besar,” katanya.

Muhammad Syazwan mengulas mengenai laporan media mengenai Buku Panduan Belanjawanku yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya di Bangi, semalam.

Menurut buku berkenaan, individu bujang yang menggunakan pengangkutan awam dan tinggal di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,870 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian demi meneruskan kelangsungan hidup manakala individu bujang yang memiliki kenderaan perlu berbelanja RM2,490 sebulan untuk menjalani kehidupan lebih baik di lokasi sama.

Pasangan berkahwin tanpa anak dianggarkan memerlukan RM4,420 manakala pasangan berkahwin dengan seorang dan dua anak masing-masing perlu memperuntukkan RM5,730 dan RM6,620 sebulan.

Bagi pasangan warga emas di Lembah Klang, mereka perlu ada belanjawan RM3,090 setiap bulan bagi menampung kehidupan seharian di kota raya.

Anggaran belanja berkenaan termasuk makanan, rumah, kesihatan, pengangkutan, utiliti, simpanan, penjagaan diri, belanja tahunan, aktiviti sosial dan belanja lain serta penjagaan kanak-kanak bagi pasangan berkahwin.

Muhammad Syazwan berkata, bagi menambah pendapatan, dia membantu rakannya menjual kenderaan secara sambilan namun komisen diperoleh tidak tetap kerana bergantung kepada jumlah jualan.

Justeru, kata Muhammad Syazwan, bagi mengurangkan perbelanjaan, dia sekeluarga memasak di rumah dan hanya sesekali menjamu selera di luar.

Selain itu, dia dan isteri juga membeli barangan dapur sebulan sekali serta mengurangkan aktiviti hiburan.

“Kami juga bercuti setahun sekali dan jika keluar pada hujung minggu hanya ke tempat yang tidak memerlukan belanja mahal.

“Mujur isteri faham dan kami harus utamakan keperluan anak selain menyediakan simpanan kerana gaji bukannya diperoleh setiap hari.

“Saya harap pihak berkaitan mengkaji kesan kenaikan kos sara hidup kepada rakyat kerana ia membebankan pasangan muda seperti kami,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Sumber “Gaji Sekadar Cukup Makan” - RM5000 Sebulan Belum Tentu Cukup Untuk Keperluan Harian Pada Zaman Sekarang..

0 Response to "“Gaji Sekadar Cukup Makan” - RM5000 Sebulan Belum Tentu Cukup Untuk Keperluan Harian Pada Zaman Sekarang.."

Post a Comment