"Bayar Balik Atau Pelajar Baru Tak Dapat Lagi Kemudahan Pinjaman Duit PTPTN" – Pengerusi



Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan meminta agar peminjam PTPTN menjelaskan pinjaman mereka supaya wang tersebut boleh digunakan untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu.

Beliau berkata kegagalan peminjam membayar balik pinjaman mungkin akan menjejaskan peluang pelajar-pelajar yang baharu memasuki institusi pengajian tinggi mendapat bantuan agensi itu.

“Sejak PTPTN diwujudkan 21 tahun lepas seramai 362,000 daripada 1.9 juta orang peminjam tidak membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM2.7 bilion.

“Jika seorang peminjam dikecualikan membayar balik pinjaman, bermakna seorang pelajar baharu tidak akan mendapat ​​​​pinjaman,” ​kata Wan Saiful  kepada Bernama  pada jamuan  Keluarga Persatuan  Melayu Perlis (Pemanis) di sini hari ini.

Beliau berkata peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk memberi pinjaman kepada mereka dipinjam oleh PTPTN daripada bank yang dikenakan faedah sebanyak lima peratus sedangkan pelajar dikenakan faedah satu peratus sahaja oleh PTPTN.

Menurutnya sehingga sekarang PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja berjumlah RM12 bilion.

“PTPTN bagaimanapun masih mencari formula terbaik bagi meringankan beban peminjam supaya dapat membayar balik pinjaman di samping beban hutang PTPTN sendiri berkurangan,” katanya.

— BERNAMA

Kaji strategi bayaran balik PTPTN



KUALA LUMPUR: Langkah menangguhkan bayaran balik pinjaman oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membebankan peminjam dalam jangka panjang, berbanding penyusunan semula bayarannya kepada kadar lebih rendah dan mampu dibayar.

Selain itu, penangguhan bayaran balik juga boleh membuatkan PTPTN kekurangan dana, seterusnya membatasi keupayaan membiayai pelajar baharu.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata janji menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam bawah pendapatan RM4,000 hanya boleh memberi ‘ruang bernafas’ kepada graduan muda berpendapatan rendah tetapi masa sama menyebabkan ada yang enggan membayarnya atau menyembunyikan pendapatan.

“Ia hanya memberi 'ruang bernafas' seketika, tetapi bagaimana untuk tempoh masa seterusnya. Dari segi ekonomi, peningkatan upah lebih perlahan berbanding peningkatan kos hidup. Justeru peminjam akan mengambil masa lama sehingga gaji mencapai lebih RM4,000.

"Saya khuatir, penangguhan meningkatkan jumlah pinjaman perlu dibayar kerana kadar bunga terkumpul meningkat. Lebih daripada itu, tidak adil bagi mereka yang sudah atau sedang membayar PTPTN walaupun pendapatan kurang daripada RM4,000," katanya yang menjangkakan jika langkah terbabit dilaksanakan boleh menyebabkan PTPTN kekurangan dana hingga menjejaskan peluang pelajar lain mendapat pinjaman.

Genap 100 hari pentadbirannya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum mengambil langkah menangguh bayaran balik sehingga pendapatan mencapai RM4,000 dengan alasan usaha sedang dibuat bagi mengumpul data setiap peminjam.

Namun, janji kerajaan untuk mengeluarkan nama semua peminjam daripada senarai hitam termasuk larangan ke luar negara, sudah dilaksanakan sepenuhnya.

Pakar Kewangan Pengguna, Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, mencadangkan perjanjian pinjaman PTPTN disemak semula, bagi membolehkan semua peminjam berupaya membayar balik pinjaman, berbanding langkah penangguhan.

Katanya, ini berikutan walaupun pelbagai kaedah diperkenalkan PTPTN sejak 1997 untuk kemudahan peminjam, tetapi isu berkaitan bayaran balik masih berterusan.

“Kenapa individu yang membuat pinjaman sanggup bayar hutang dengan bank tetapi agak liat dalam bayaran balik PTPTN. Saya lihat isu ini terus berlarutan,” katanya.

Fazli yang juga Timbalan Dekan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), menyifatkan kaedah potongan gaji boleh dipraktikkan dalam kalangan pekerja swasta, tetapi perlu diperhalusi supaya jumlah dikenakan tidak menjejaskan kewangan peminjam, khususnya yang baru memulakan kerjaya.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang dan masa kepada kerajaan baharu untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu janji yang ingin dilaksanakan.

Peminjam PTPTN, Nani Ishak, 33, pula berjaya melangsaikan pinjaman PTPTN, berjumlah RM24,000 dalam tempoh 10 tahun, selepas tamat pengajian pada 2008.

Beliau yang berkhidmat dengan sektor swasta berkata, bermula dengan membayar hanya RM50 sebulan beliau kemudian mempertingkatkan jumlah bayaran kepada RM300 bagi mempercepatkan bayaran balik.

Katanya, beliau turut menikmati diskaun bayaran yang ditawarkan PTPTN pada 2012 apabila peminjam hanya dikenakan caj sebanyak satu peratus.

“Pada pandangan saya, hutang tetap hutang dan wajib dibayar tanpa sebarang alasan,” katanya.

Nani berkata, pelbagai kaedah ditawarkan untuk bayaran balik pinjaman, termasuk menerusi akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ia bergantung sepenuhnya kepada disiplin dan etika peminjam.

sumber : berita harian

Sumber "Bayar Balik Atau Pelajar Baru Tak Dapat Lagi Kemudahan Pinjaman Duit PTPTN" – Pengerusi

0 Response to ""Bayar Balik Atau Pelajar Baru Tak Dapat Lagi Kemudahan Pinjaman Duit PTPTN" – Pengerusi"

Post a Comment