Bapa muda ini sanggup jual kek pisang tepi jalan demi membiayai kos pembe-dahan hati anaknya yang mencecah RM125,000!



Menjadi ibu bapa mendidik kita untuk sentiasa melakukan pengorbanan demi memastikan keluarga dapat menikmati kehidupan yang selesa dan damai.

Namun kadangkala, ada segelintir ibu bapa yang diuji dengan dugaan berat sehingga memaksa mereka untuk berusaha berkali-kali ganda demi kelangsungan hidup keluarga.

Inilah yang terjadi kepada seorang bapa berusia 34 tahun bernama Antonio Detablan. Menurut AsiaOne, Antonio yang berasal dari Calamba, Filipina telah mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kek pisang di tepi jalan bagi membiayai rawatan perubatan anaknya, Aquiro Jazz.



Aquiro, lapan bulan atau nama panggilannya Aki dilaporkan perlu menjalani pemindahan hati dan kos bagi prosedur pembedahan ini menelan belanja sekitar RM125,000!

Bayi kecil ini disahkan menghidap penyakit Biliary Atresia yang merupakan satu penyakit luar biasa dan jarang berlaku. Keadaan ini telah menjejaskan bahagian hempedu serta hati Aki yang didiagnos dengan penyakit itu pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, isteri Antonio iaitu Jabee Imano Galindes, 34 tahun merupakan seorang suri rumah dan sangat mahir dalam membuat kek. Bagi menambah pendapatan keluarga, dia turut membantu suaminya dengan menjual baju cetakan dan tiket loteri secara atas talian.



Pasangan ini telah berkahwin selama 9 tahun dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Anexi Jazz (8 tahun), Arkhin Jazz (4 tahun) dan Aquiro Jazz (8 bulan). Menurut Jabee, anak kedua mereka turut pernah menjalani pembedahan pada tahun 2016 setelah doktor mengesahkan Arkhin menghidap hydrocephalus yang merujuk kepada keadaan di mana lebihan cecair di dalam otak.

“Terima kasih kepada Tuhan dan mereka yang baik hati menghulurkan bantuan. Hanya Tuhan yang mampu memberikan kebaikan ini kepada kami terutamanya Aki”.

Simpati dengan keadaan yang menimpa keluarga ini, seorang netizen telah bertindak mengongsikan kisah tersebut ke Facebook bagi menguar-uarkan kepada orang ramai agar tampil menghulurkan bantuan kepada Antonio dan Aki.

Berdasarkan perkongsian tersebut, netizen ini telah memuat naik gambar Antonio yang sedang mendukung Aki sambil menjual kek pisang di tepi jalan. Sebuku kek pisang itu dijual pada harga RM9.40 dan Antonio amat berharap agar dia dapat memperoleh wang yang cukup demi merawat penyakit anaknya itu.


Perkongsian ini berjaya sampai ke pengetahuan orang ramai dan meraih lebih daripada 139,000 perkongsian setelah ianya menular.

Buat masa ini, Aki hanya bergantung kepada pengambilan vitamin sementara menunggu sesi pembedahan. Bagaimanapun, doktor memaklumkan bahawa sekiranya Aki tidak dibedah sebelum mencapai setahun, usia Aki mungkin tidak akan bertahan sehingga dia berusia dua tahun.

Sumber: AsiaOne via erabaru.com.my

Sumber Bapa muda ini sanggup jual kek pisang tepi jalan demi membiayai kos pembe-dahan hati anaknya yang mencecah RM125,000!

0 Response to "Bapa muda ini sanggup jual kek pisang tepi jalan demi membiayai kos pembe-dahan hati anaknya yang mencecah RM125,000!"

Post a Comment