“Allah Dengar Rungutan Saya Ketika Hamil, Mungkin Sebab Itulah Anak Kedua Saya ‘Muhammad’ Pergi….” - Anis Atokman
Saya nak buat kejutan, kan? Saya mengandung memang jenis tak ada masalah atau alahan apa-apa, sebab tengok saya relaks saja tak ada update apa-apa. Macam tak ada apa-apa, tahu-tahu je keluar Aira. Saya tak umumkan masa kehamilan Aira Mikayla (3rd pregnancy) bukan sebab nak buat kejutan ke apa tetapi kehamilan kedua membuatkan saya sedar dan muhasabah diri.
Hampir dua tahun usaha dan menunggu kehamilan yang kedua. Akhirnya Allah dengar dan perkenankan doa saya. Alhamdulillah bulan Ogos tahun lepas, positive pregnant. Suami pun gembira sangat bila dapat tahu saya mengandung. Jadi bermulalah aktiviti buku merah, ulang alik check up.
Sepanjang kehamilan itu, ada juga saya update di Facebook, tetapi mungkin ada yang perasan dan ada yang tak perasan sebab posting saya tak jelas. Cuma hint saja tetapi update something yang bunyi seperti, “mengeluh dan merungut” sebab tak sihat, sakit-sakit badan, alahan apa semua disebabkan pembawakan.
Kehamilan kedua saya dijangka due pada bulan puasa lalu. Masa itu saya suka cakap pada suami dan mak, “Aloo, tak syok la kena berpantang time puasa. Tak boleh pakai baju rayalah, tak boleh makan makanan sedap-sedap,” memang ayat itu selalu keluar dari mulut saya. Sakit sikit merungut, “tak sukanya badan sakit-sakit macam ini”.
Bila muntah-muntah pun merungut, “Tak syoknya muntah-muntah macam ini. Lecehlah..”. Masa nak kena check up pun merungut, “Cemuihnya every week/month nak kena pergi sua muka kat misi dan doktor”. Kira pendek kata apa saja perubahan fizikal atau mental semasa mengandung, kerja saya memang merungut saja.
Pemakanan dan aktiviti pun tak berapa jaga. Minggu berganti minggu, check up di klinik kesihatan dan swasta. Bulan pertama Alhamdulillah kelibat Muhammad dah mula nampak. Masa itu syok tak tahu nak cakap macam mana. Kalau boleh nak suruh dia besar cepat-cepat. Yelah, kakak pun berusia tiga tahun, rindu nak bau baby lagi.
Dalam kegembiraan itu pun, sepanjang proses nak pergi check up itu pun tak habis-habis mulut merungut. “Ramai orang la, tak larat tunggu turn. Macam-macam la..”. Merungut tak habis-habis sebab masa ini alahan dah mula datang. Muntah tak kira masa dan tempat. Fizikal dah mula berubah.
Masuk bulan kedua, check up.
Doktor tunjuk degupan jantung Muhammad. Alhamdulillah, Muhammad sedang membesar. Setiap kali scan mesti simpan kertas scan itu walaupun rupa Muhammad masih tak nampak dengan jelas. Tetapi setiap kali bila scan, rungutan di mulut tetap tak berhenti sebab masa ini alahan dah semakin menjadi-jadi.
Kehamilan hampir masuk ke bulan ketiga, waktu ini saya dah mula perasan perubahan fizikal yang saya rasa macam sepatutnya ibu-ibu mengandung rasa dah mula tak ada. Muntah-muntah pun dah berhenti, makan pun dah lalu seperti biasa. Saya cuba berfikiran positif, mungkin alahan dah habis agaknya.
Tetapi ini kehamilan kedua saya, bermaksud dah ada pengalaman sewaktu kehamilan pertama. Jadi serba sedikit perkara yang negatif datang juga.
Kemudian malam itu, mula rasa sakit pinggang. Tak senang duduk dibuatnya. Esok pergi klinik check up, dua kali doktor scan. First scan
seperti biasa, masa itu saya nampak muka doktor seperti ada sesuatu yang tak kena. Saya dah mula berdebar tetapi masih berfikiran positif. Doktor kata dia tak nampak kelibat “Muhammad”. Kemudian doktor periksa sekali lagi dan kali ini scan direct ke dalam. Masa ini mata saya dah mula berkaca mungkin sebab naluri ibu dah boleh rasa.
Selepas scan, doktor kata “Muhammad” mengecut dan tidak membesar. Degupan jantung dah berhenti. Masa ini Allah saja yang tahu perasaan kecewa saya. Masa dalam bilik doktor, perasaan itu masih disorok. Masa berjalan ke kereta, air mata dah mula bertakung tetapi masih disembunyikan lagi.
Masuk saja dalam kereta, saya dan suami memang tak putus air mata.
Sampai saja di rumah, saya duduk sambil membelek-belek buku merah Muhammad dengan air mata. Masa ini barulah saya sedar rupanya sekali lagi Allah dengar rungutan saya dan Allah perkenankan agar saya tidak
muntah-muntah lagi, tidak sakit-sakit badan lagi, tak perlu berulang alik dan tunggu giliran untuk check up, boleh pakai baju raya dan makan sedap-sedap bila hari raya nanti. Masa ini saya juga sedar, sebelum saya kecewa dengan pemergian Muhammad, mungkin Muhammad lebih awal kecewa dengan rungutan saya sepanjang kehadiran dia dalam rahim saya.
Mungkin sebab itu dia pergi. Masa dia tak ada, kita bersungguh-sungguh nak dan minta. Bila dia ada, kita merungut pula. Allahu. Masa ini saya bersungguh-sungguh meminta ampun dan doa kepada Allah agar masih ada zuriat lagi buat saya dan suami. Dan ternyata Allah itu Maha
Pengampun. Bulan Disember, saya disahkan hamil lagi untuk kali ketiga, syukur masih diberikan peluang. Masa ini, saya jaga hati, percakapan dan perbuatan. Setiap yang berlaku sepanjang kehamilan, saya panjatkan rasa bersyukur kerana saya tidak mahu Allah tarik sekali lagi dan saya tahu semua itu berlaku tanda anak saya sihat dan sedang membesar di dalam.
Semua itu juga sebenarnya satu nikmat sebab di waktu mengandung saja kita boleh merasa semua itu. Selepas sembilan bulan, pasti kita akan rindu semula dengan semua detik-detik itu. Masa ini juga saya mengambil keputusan untuk tidak mengumumkan perkara ini sebab dalam masa yang sama saya mahu menjaga hati rakan-rakan yang lain, yang belum ada zuriat.
Tunggu dah selamat bersalin nanti, baru saya akan kongsikan. Sekarang, hari ini, syukur Aira Mikayla dah genap dua bulan satu hari. Al-fatihah untuk Muhammad, anak syurga Ummi dan Baba. Ingatlah, kata-kata itu satu doa, jangan mengeluh dan jangan merungut. Hargai selagi ada.
Sumber: Anis Atokman via The Reporter
Sumber “Allah Dengar Rungutan Saya Ketika Hamil, Mungkin Sebab Itulah Anak Kedua Saya ‘Muhammad’ Pergi….” - Anis Atokman
0 Response to "“Allah Dengar Rungutan Saya Ketika Hamil, Mungkin Sebab Itulah Anak Kedua Saya ‘Muhammad’ Pergi….” - Anis Atokman"
Post a Comment