Simbiosis Melayu Dan Kerbau

1. Nilai harta dan kekayaan orang Melayu ini pernah disandarkan pada tiga perkara iaitu yang pertama, banyaknya pemilikan bahara (unit timbangan berat) emas. Kedua, ramainya bilangan hamba, dan yang ketiga ialah banyaknya pemilikan kerbau.

2. Adik Syukor Khamis sangat beruntung kerana memiliki perkara ketiga, malah mesra dan sangat rapat dengan kerbau milik keluarganya. Tengoklah gambar.

3. Adik Syukor dikatakan seakan Mowgli yang ada hubungan emosi dan sangat rapat dengan haiwan, lebih-lebih lagi kerbau. Tahniah kepada jurugambar yang mememenangi banyak anugerah dalam dan antarabangsa dengan subjek yang memaparkan betapa rapatnya adik Syukor bersama kerbau dan haiwan-haiwan lain milik keluarganya.

4. Namun sebenarnya, kemahiran atau anugerah yang dimiliki oleh adik Syukor adalah manifestasi paling ideal tentang kehidupan orang Melayu zaman lampau. Resam Melayu sejak dahulu lagi memang menganggap kerbau adalah satu harta kesayangan yang besar nilainya sejak sekian lama.

5. Suatu ketika dahulu kerbau merupakan komoditi penting dalam urusan harian di kalangan masyarakat Melayu. Selain bekerja di sawah dan membantu tuannya bertani, kerbau pernah digunakan dalam urusan jual beli, dijadikan sebagai satu bentuk matawang untuk galang ganti bagi memiliki harta-harta lain melalui sistem barter.

6. Ketika itu juga malah sehingga lewat 1800-an, kerbau masih lagi dijadikan nilaian mas kahwin dan hantaran perkahwinan orang Melayu. Bilangan tumbangnya kerbau bagi menjamu tetamu misalnya menjadi simbol status orang Melayu ketika itu, terutamanya bagi pembesar dan Raja-Raja Melayu.

7. Kerbau ketika itu juga digunakan bagi membeli atau menebus hamba, memajak tanah, dan juga sebagai persembahan terbaik kepada Raja-Raja Melayu dari hamba rakyatnya. Kerbau yang memiliki keganjilan sejak lahir dan memiliki ciri-ciri unik misalnya, tidak boleh dimiliki oleh hamba rakyat. Ia adalah untuk dipersembahkan kepada Raja mereka dan menjadi kesalahan pula jika ia disimpan dan disembunyikan dari pengetahuan istana.

8. Aku pernah tulis tentang hak Raja Melayu ke atas kerbau berciri ganjil dan unik ini di sini; https://www.thepatriots.asia/hak-istimewa-raja-raja-melayu…/

8. Pada zaman Pra-Islam di Tanah Melayu, kerbau pernah dijadikan alat persembahan kepada semangat padi, semangat sungai yang mengairi sawah bahkan dijadikan sebagai persembahan untuk memuja semangat hutan, sesuai dengan kepercayaan animisme orang Melayu di saat ketika Islam masih belum tiba atau sangat mentah baharu bertapak di Alam Melayu.

9. Kisah-kisah lagenda dan mitos-mitos rakyat, dongengan kanak-kanak misalnya banyak sekali mengisahkan perihal kerbau yang begitu signifikan di dalam budaya dan sejarah Melayu.

10. Orang Minangkabau misalnya sangat berbangga dengan asal usul nama Minangkabau itu sendiri, bagaimana seekor kerbau kecil yang lapar dan kehausan menumpaskan kerbau jantan gergasi milik Majapahit, sekaligus menyelamatkan kerajaan Pagaruyung dari dijarah Majapahit.

11. Hikayat Raja Pasai pula ada menceritakan bagaimana keasyikan Merah Silu leka dengan kemahiran yang baru diperolehnya iaitu menjinak dan bermain dengan kerbau liar. Namun kemahirannya ini membawa keapda konflik dengan saudaranya Merah Hasum hingga sanggup berpisah dengannya demi sayang pada kerbau liar itu tadi.

12. Di dalam Sejarah Melayu pula ada diceritakan tentang kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang memiliki kerbau sangat banyak. Di dalamnya ditulis, seringkali apabila anak-anak buahnya keluar berburu untuk pulang semula tanpa hasil, mereka akan singgah ke ladang ternakan Tun Mutahir. Kumpulan ini akan menyembelih beberapa ekor setiap kalinya, dan Tun Mutahir langsung tidak perasan akan kerbaunya telah disembelih. Itulah gambaran betapa banyaknya kerbau Tun Mutahir.

13. Jika perlu mengisytiharkan harta, mungkin Tun Mutahir juga akan terlupa untuk mengisytiharkan hartanya ketika itu kerana tidak tahu berapa banyak kerbau yang dimilikinya. Begitulah.

14. Ini belum diceritakan tentang Hikayat Kancil dan Kerbau, salah satu siri hikayat kanak-kanak popular yang pernah dicerita dan diturunkan oleh para ibu kepada anak-anak kecil mereka.

15. Jadi jelas, kerbau sejak dahulu lagi sangat sinonim dengan orang Melayu. Keduanya rapat dan bekerja, seiring membanting tulang dan tenaga di bendang, membuka kawasan dan membersihkan ladang, ditunggang dan dijadikan teman. Kerbau adalah aset dan harta untuk diwariskan kepada anak-anak Melayu.

16. Simbiosis kerbau dan orang Melayu tidak dapat dipisahkan baik dalam pertalian emosi malah pernah juga menjadi jambatan menghubungkan spiritual orang Melayu dengan alam.

*Ralit tengok gambar adik Syukor dengan kerbaunya ni. Tahniah untuk semua jurugambar yang terlibat menghasilkan shot dan gambar-gambar ini, dan tahniah juga atas semua kemenangan anugerah tempatan dan antarabangsa untuk gambar-gambar kalian. Semua gambar diambil terus dari FB Syukor Khamis – Kampong Boy, kecuali gambar terakhir, “Anak Melayu menunggang kerbau di Kuala Lumpur”, 1928, Koleksi Arkib KITLV, Belanda.

0 Response to "Simbiosis Melayu Dan Kerbau"

Post a Comment